Agong kurnia surat cara pelantikan kepada 16 hakim

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Abu Bakar di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Abu Bakar di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 16 hakim di Istana Negara di sini.

Turut berangkat pada istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Ia diikuti Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azmi Ariffin, Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk S M Komathy a/p Suppiah dan Datuk Dr Choo Kah Sing.

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan surat cara kepada 10 Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor; Norliza Othman, Hasbullah Adam, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim, Roslan Mat Nor, Julia Ibrahim, Datuk Mohd Arief Emran Arifin, Dr John Lee Ken How@Mohammad Johan Lee, Adlin Abdul Majid dan Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Rampkarpal Singh, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim.

Istiadat turut disaksikan Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abdul Rahman Sebli.

Selesai pengurniaan suratcara pelantikan, Seri Paduka berdua kemudiannya berkenan ke Dewan Seri Bendahara untuk menerima menghadap kesemua hakim yang baru dilantik, sebelum bersantap bersama semua tetamu yang hadir. - Bernama