RCI Tabung Haji jangan jadi macam RCI Batu Puteh-Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim berucap pada Program Munajat dan Ceramah Mega di Port Dickson.
Tuan Ibrahim berucap pada Program Munajat dan Ceramah Mega di Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON– Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berharap pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) tidak mengulangi apa yang berlaku terhadap laporan RCI Batu Puteh yang didakwanya mengandungi muka surat kosong.

Beliau berkata, laporan RCI Tabung Haji yang akan dibawa ke sidang khas Parlimen itu wajar didedahkan secara telus tanpa sebarang unsur menyembunyikan maklumat.

"Tahniahlah kerana ia akan dibawa ke Parlimen dalam sidang khas akan datang. Tapi jangan ulang RCI Batu Puteh yang juga dibawa dan dibahaskan di Parlimen.

"Tapi, apa yang mendukacitakan kita apabila RCI Batu Puteh mempunyai berpuluh-puluh muka surat kosong dan dipadam," katanya ketika berucap pada Program Munajat dan Ceramah Mega di sini pada Khamis.

Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan kerana dokumen yang dibentangkan di Parlimen terbabit sepatutnya lengkap demi memastikan ketelusan kepada rakyat.

Tambahnya, ia secara tidak langsung memberi gambaran seolah-olah ada elemen yang mahu menyembunyikan sesuatu.

"Kenapa ada muka surat yang dah hilang? Ini dibentangkan di Parlimen. Kalau di Parlimen pun ada elemen menutup sesuatu perkara kerana objektif tertentu, kita bimbang objektif politik atau kepentingan politik mengatasi hasrat untuk melihat dan membaik pulih semula TH," katanya.

Media pada tahun 2024 melaporkan, sebanyak 47 muka surat yang dipadamkan dalam laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah demi kedaulatan dan keselamatan negara.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menegaskan reformasi tadbir urus perlu dilaksanakan sepenuhnya dan bukan sekadar membuat pengumuman mengenai dapatan siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh kerana itu, bagi kita reformasi tadbir urus mesti dilakukan sepenuhnya, bukan sekadar yang diumum sahaja.

"Dapatan rakyat nak tahu...betul boleh diumum, tetapi saranan RCI mesti ada tindakan," katanya.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengapa kerajaan masih belum mengambil tindakan terhadap syor-syor berkaitan walaupun sudah empat tahun berlalu.

"Kenapa kerajaan tidak bertindak? Kenapa dibiar sampai sekarang, empat tahun tak ada tindakan?

"Jangan kita ambil kesempatan dalam situasi rakyat yang tidak jelas, akhirnya ia menjadi polemik lain. Boleh jadi hendak menutup beberapa perkara lain sebelum ini," katanya.

Tuan Ibrahim turut mendakwa bahawa cadangan menubuhkan RCI itu dibuat ketika zaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ia dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, laporan itu difahamkan sudah pun siap ketika itu, namun yang menjadi persoalan apabila ia dibentangkan pada waktu Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan.

"Kita pun menunggu bila nak dibentang kepada rakyat, bila nak dibawa ke Parlimen tapi tiba-tiba masa PRN ia dibentangkan. Tapi secara simbolik kita boleh lihat kenapa waktu ini dibentang.

"Saranan RCI dan laporan itu supaya kerajaan bertindak dan mengambil beberapa keputusan di atas cadangan-cadangan tersebut. Soalnya, sejauh mana cadangan itu diambil tindakan?" katanya

Tegasnya, Pas tidak akan kompromi dengan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah, selain mahu keadilan ditegakkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!