Awan gergasi berbentuk cendawan petanda gempa bumi?

TOKYO - Kemunculan awan gergasi selepas gempa bumi berukuran 7.1 skala Richter di wilayah Kumamoto, Jepun mencetuskan perbincangan hangat di media sosial terutamanya dalam kalangan pentaasub teori konspirasi.
Selepas gegaran kuat pada Selasa, imej itu mula tular dan ramai warganet membuat spekulasi serta menggelarnya sebagai 'awan gempa bumi'.
Gambar yang dirakam oleh penduduk tempatan menunjukkan awan tersebut berkembang sangat tinggi dengan bahagian atasnya melebar seperti bentuk cendawan atau payung.
Oleh kerana fenomena itu berlaku hampir serentak dengan kejadian gempa tersebut. Sebahagian besar pengguna media sosial percaya ia merupakan petanda luar biasa daripada alam semula jadi.
Bagaimanapun, pakar meteorologi negara itu menolak dakwaan tersebut.
Konsep 'awan gempa bumi' masih belum dibuktikan secara saintifik dan tidak digunakan sebagai kaedah untuk meramal bencana itu.
Ia menegaskan bahawa kejadian yang berlaku pada waktu yang sama tidak semestinya mempunyai kaitan.
Penyelidik kanan di Agensi Meteorologi Jepun (JMA) Kentaro Araki berkata, gempa tidak boleh dinilai atau diramalkan berdasarkan bentuk mahupun kemunculan awan.
Bentuk awan yang muncul di langit Kumamoto sebenarnya dikenal pasti sebagai 'kumulonimbus' iaitu awan ribut yang berkembang secara menegak.
Apabila bahagian atas awan mencapai lapisan atmosfera yang stabil, ia tidak lagi boleh naik lebih tinggi. Sebaliknya, awan itu akan melebar ke sisi sehingga membentuk rupa seperti cendawan.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS), awan itu biasanya terbentuk semasa ribut petir yang kuat dan boleh disertai dengan kilat, hujan lebat, angin kencang atau hujan batu.
Fenomena itu disifatkan sebagai perkara biasa dalam bidang meteorologi terutamanya pada musim panas apabila udara yang hangat dan lembap mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pembentukan arus perolakan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

