Ibu, dua anak perempuan ditemui maut dalam rumah

Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.10 malam. Gambar hiasan
Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.10 malam. Gambar hiasan
A
A
A

IPOH – Seorang ibu bersama dua anak perempuannya ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Bandar Baru Tambun di sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.10 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati ketiga-tiga mangsa iaitu seorang wanita berusia 46 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 12 dan 11 tahun merupakan warga tempatan.

"Ketiga-tiga mangsa ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

"Turut ditemui sebuah bekas yang dipercayai mengandungi sisa pembakaran arang di dalam bilik tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemeriksaan awal yang dijalankan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pakar perubatan forensik tidak menemukan sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Bedah siasat dijadualkan dijalankan pada Jumaat bagi melengkapkan siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan selesai," katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!