KPN arah berhenti menjaja di lampu isyarat

Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan, malah pembeli juga boleh didenda tidak melebihi RM2,000. Gambar kecil: Abdul Hamid
Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan, malah pembeli juga boleh didenda tidak melebihi RM2,000. Gambar kecil: Abdul Hamid
A
A
A

[LAPORAN KHAS] KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menggesa penjaja dan orang ramai menghentikan aktiviti perniagaan di persimpangan lampu isyarat yang menyalahi Akta Lalu Lintas Jalan Raya kerana mendatangkan bahaya kepada pelbagai pihak.

Abdul Hamid menegaskan, mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan, malah pembeli juga boleh didenda tidak melebihi RM2,000.

“Aktiviti perniagaan sebegitu merupakan satu kesalahan kerana cara itu bukan sahaja membahayakan penjual, tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Tambahnya, pihak polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kanak-kanak dieksploitasi sebagai penjaja di kawasan persimpangan lampu isyarat.

“Kita akan menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut atau kita ambil tindakan sewajarnya terhadap keluarga kepada kanak-kanak itu,” kata Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas program ‘Bersama KPN’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Hamid mengakui, pihaknya berhadapan dengan dilema untuk mengambil tindakan terhadap penjaja di persimpangan lampu isyarat.

Ujarnya, terdapat sebahagian peniaga yang ditahan sebelum ini terdiri daripada mereka yang diberhentikan kerja dan ingin mencari rezeki bagi menampung hidup.

Artikel Berkaitan:

“Ada individu yang kita tangkap ini bekas pekerja kilang yang diberhentikan, ada juga individu yang mempunyai pekerjaan lain tetapi mengambil peluang untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

“Ini menimbulkan kontroversi apabila ada pihak yang mempersoalkan tindakan polis yang kejam sangat kerana menangkap penjaja jalanan.

“Mereka menggesa kita supaya membiarkan individu itu berniaga untuk mencari duit halal,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada satu lagi pihak lagi telah membuat aduan dan mempersoalkan keselamatan penjaja jalanan dan pengguna jala raya.

“Kita tersepit dengan isu ini. Kita mahu cari titik pertemuan terhadap isu ini kerana isu emosi susah bagi saya untuk jelaskan,” katanya.