Jeling-jeling anak sebelum keluar kereta

Sudah tiba masanya pengeluar automotif untuk bersama membantu memperkenalkan teknologi baharu bagi mewujudkan sistem penggera pengesan kanak-kanak dalam kereta. - Foto 123RF
Sudah tiba masanya pengeluar automotif untuk bersama membantu memperkenalkan teknologi baharu bagi mewujudkan sistem penggera pengesan kanak-kanak dalam kereta. - Foto 123RF
A
A
A

INSIDEN malang melibatkan anak kecil mati lemas di dalam kenderaan akibat kecuaian masih berulang. Seolah-olah kejadian sebelum ini tidak memberi pengajaran langsung buat semua. Nyawa si kecil melayang dan pelaku hanya mampu memohon maaf serta memberi alasan terlupa.

Masalahnya, kes kecuaian seperti itu bagaikan tiada jalan penyelesaian konkrit untuk mengubati penyakit lupa. Kes kematian paling mendapat liputan meluas adalah pada Februari tahun lalu melibatkan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang meninggal dunia di dalam kereta bapanya.

Kisah bayi malang itu, Annur Jannatul Syuhada Mohd Khalil yang ditinggalkan di tempat letak kereta di Kompleks Tun Razak (Komtar), Indera Mahkota di Kuantan, Pahang amat meruntun hati.

Baru-baru ini, negara gempar lagi kes seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang ditinggalkan di dalam Proton Waja lebih empat jam di Sungai Petani, Kedah. Kanak-kanak malang yang ditemui di tempat duduk belakang itu tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, selain pemandu kereta ditahan reman, polis turut merampas kunci dan sebuah kereta Proton Waja bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta selepas disedari ketiadaan mangsa pada jam 12.15 tengah hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti sama ada kejadian itu berunsur jenayah atau kecuaian,” katanya.

Siapa yang wajar dipersalahkan? Sedangkan orang dewasa pun boleh maut dek terdedah dengan gas karbon monoksida dan suhu panas, inikan pula si kecil yang tidak tahu apa-apa.

Artikel Berkaitan:

Hukuman

Statistik yang dikongsi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menunjukkan sebanyak enam kes kematian kanak-kanak akibat kecuaian ibu bapa atau penjaga dilaporkan sejak 2018 hingga Ogos 2020.

Beliau berkata, kerajaan bertindak meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada tahun 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 akta berkenaan. Ia merangkumi penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak atau 'bertindak secara cuai’.

Katanya lagi, tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukuman mandatori.

Di Amerika Syarikat, kes kanak-kanak ditinggalkan di dalam kereta dalam keadaan suhu panas dan tempoh lama juga diberikan perhatian serius kerana penjaga atau ibu bapa boleh dituduh sebagai pembunuh.

Ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan hukuman penjara hingga satu tahun dengan denda dan tambahan hukuman lain, bahkan hukuman berat boleh dijatuhkan bagi kes pengabaian dengan niat.

Menurut perangkaan data Pediatric Vehicular Heatstroke (PVH) Amerika Syarikat yang direkod sejak 1998 hingga 2020, sebanyak 882 kes kanak-kanak dilaporkan mati lemas di dalam kereta.

Daripada jumlah itu, 467 kes kanak-kanak meninggal dunia atas faktor terlupa, selain 227 kes dilaporkan menaiki kenderaan tanpa disedari ibu bapa atau penjaga, 173 lagi ditinggalkan penjaga di dalam kereta, manakala 15 kes lain tidak diketahui.

Barangkali sudah tiba masanya campur tangan pengeluar automotif untuk bersama membantu memperkenalkan teknologi baharu bagi mewujudkan sistem penggera pengesan kanak-kanak dalam kereta.

Ya! Seiring teknologi canggih dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin maju, tidak mustahil ciri keselamatan tersebut boleh dibangunkan kerana sudah menjadi trend pengeluar kereta dunia berlumba-lumba memperkenalkan kenderaan pintar.

Apa pun, paling penting adalah kesedaran ibu bapa dan penjaga. Sentiasa beringat dan jeling-jeling ruang tempat duduk belakang sebelum keluar kereta. Percayalah, dengan jelingan itu, kita mampu menyelamatkan nyawa si kecil.

* Arziana Mohmad Azaman ialah wartawan SinarPlus