Jururawat meninggal akibat serangan jantung

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang jururawat Hospital Pulau Pinang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Sri Astana di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia 45 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya di dalam bilik tidur pada jam 2 pagi.

Menurutnya, mangsa yang mempunyai penyakit darah tinggi itu baharu sahaja mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada 12 Mac lalu.

"Kita menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan daripada seorang penolong pegawai perubatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada jam 2.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, suami mangsa memaklumkan bahawa isterinya mengadu lenguh badan setelah menerima suntikan vaksin Covid-19 di tempat kerja.

"Sebelum kejadian juga isterinya itu mengadu sakit seluruh badan selain sesak nafas dan mahu berehat sebelum masuk ke bilik tidur pada jam 11.30 malam.

"Namun pada jam 2 pagi, suaminya masuk ke bilik untuk tidur dan cuba mengejutkan isterinya namun tiada sebarang tidak balas," katanya.

Adzli berkata,setelah mendapati nadi isterinya tiada denyutan, lelaki terbabit bertindak menghubungi HSAH sebelum wanita itu disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat.

"Pejabat Kesihatan Daerah juga telah datang untuk membuat sanitasi di tempat kejadian," katanya.

Katanya, punca kematian mangsa yang telah berkhidmat sebagai jururawat selama hampir 20 tahun itu disahkan akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.