X

Kindly register in order to view this article
!

‘Kita bazir banyak masa persoal bilangan ahli Parlimen’

Lima ahli Parlimen pembangkang menegaskan bahawa mereka telah membazirkan banyak masa mempersoalkan mengenai bilangan ahli Parlimen dan masih diheret dengan isu siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri.
A
A

SHAH ALAM - Lima ahli Parlimen pembangkang menegaskan bahawa mereka telah membazirkan banyak masa mempersoalkan mengenai bilangan ahli Parlimen dan masih diheret dengan isu siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, mereka berkata, selepas setahun pengkhianatan Langkah Sheraton yang menyakitkan, mereka mahu terus bergerak ke hadapan.

“Kita tidak pernah kekurangan bakat di kalangan ahli Parlimen pembangkang.

“Kami mahu pimpinan pembangkang untuk terus fokus menawarkan polisi yang boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat Malaysia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” katanya.

Lima ahli Parlimen berkenaan adalah Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), Datuk Darell Leiking (Penampang), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) Hannah Yeoh (Segambut) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan masih terlalu awal untuk tentukan kerjasama dengan UMNO.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbincangan dengan UMNO masih lagi berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa ahli Parlimen PH diugut, pelawa sogokan

Mengulas lanjut, lima ahli Parlimen itu berkata, mereka mesti selalu diingatkan sebarang kerjasama yang mahu diusahakan itu perlu bermula dengan perkara paling asas iaitu mempunyai agenda perjuangan yang sama dan kesungguhan untuk melakukan reformasi.

“Kerjasama yang mahu dibina mesti mempunyai satu cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama agar ianya dapat bertahan lebih lama.

“Kami percaya bukan sahaja kluster mahkamah, malah kepimpinan UMNO hari ini yang dilihat tidak memiliki cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama kita perlukan untuk membina semula negara ini,” kata mereka.

Tambah mereka, sebagai ahli Parlimen, mereka mahu membina semula negara ini dengan asas yang betul kerana tanpa asas yang betul, ia akan runtuh.

“Mendapatkan semula Putrajaya melalui jalan pembinaan mahligai pasir yang besar dan cantik dipandang tetapi mudah hancur dihempas ombak adalah satu lagi tindakan sia-sia.

“Kita harus belajar daripada pembentukan mahligai pasir kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina dari asas yang rapuh dan hanya mampu bertahan dengan ugutan berterusan serta resolusi parti UMNO yang berubah-ubah.

“Jangan sampai kita menjadi seperti mereka. Kita tidak perlu mempertaruhkan kesemuanya untuk ke Putrajaya,” tegas mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!