Ahli Parlimen PKR pembelot cipta pelbagai alasan: Nik Nazmi

NIK NAZMI
NIK NAZMI
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen yang membelot Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mencipta pelbagai alasan atas tindakan yang dilakukan oleh mereka.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun berkata, rakyat tidak bodoh dan mampu membuat keputusan yang betul ketika pilihan raya akan datang.

“Bagi ahli dan pendukung parti, insiden ini pasti akan mengecewakan dan menimbulkan kemarahan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Pada 13 Mac lalu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Pada 28 Februari, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon turut mengumumkan keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nik Nazmi berkata, pembelotan adalah masalah di seluruh spektrum politik di negara ini.

“Semua pihak menjadi mangsa. Semua parti politik di Malaysia kehilangan ahli, wakil rakyat dan pemimpin kerana norma baharu politik ini.

“Ramai ahli Parlimen PKR telah memberi amaran agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menerima ahli Parlimen yang berpaling tadah dari UMNO pada 2018 hingga 2019,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik keluarnya ahli Parlimen dari PKR, Nik Nazmi berkata, beliau akan kekal bersama parti itu.

“Saya sudah mula bersama parti ini sejak dua dekad lepas, ketika saya berusia 19 tahun ekoran peristiwa Reformasi dan menyertai parti itu secara rasmi empat tahun kemudian.

“Parti yang benar-benar berbilang kaum, nasional dan reformis yang komited terhadap keadilan sosial akan sentiasa relevan di Malaysia,” katanya.

Nik Nazmi berkata, PKR merupakan sebuah parti berbilang kaum yang paling berjaya di negara ini.

“Jalan menuju kejayaan kita adalah dengan menjadikan parti ini sebagai khemah besar yang inklusif dan merangkumi pelbagai aliran pemikiran dan sosok individu.

“Kami kini mempunyai 1,037,888 ahli dengan cabang wujud di kesemua 222 kawasan Parlimen di negara kita. Pada tahun 2018, angka ini berjumlah 800,000. Parti ini juga mempunyai 1,592 ranting (cawangan).

“Ini menjadikan PKR parti ketiga terbesar di Malaysia setelah tiga juta ahli UMNO dan 1.5 juta Pas,” katanya.