11 syarikat bas henti-henti terima dana sementara RM5.6 juta

Biaramas Express Sdn Bhd antara syarikat bas henti-henti di Sarawak yang akan menerima dana sementara. (FOTO: Suarasarawak.my)
Biaramas Express Sdn Bhd antara syarikat bas henti-henti di Sarawak yang akan menerima dana sementara. (FOTO: Suarasarawak.my)
A
A
A

MIRI - Sebanyak 11 syarikat bas berhenti-henti di Sarawak akan menerima Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) bagi Tahun 2021-2022 menerusi peruntukan RM5.6 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Perjanjian penerimaan dana bantuan itu ditandatangani antara Pengarah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Razami Mohamad Jamali dengan para pengurus syarikat bas terbabit dalam satu majlis di Pejabat Residen Miri pada Khamis yang disaksikan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan LPKP dan Kementerian Pengangkutan Sarawak sempena majlis tersebut, syarikat-syarikat yang layak menerima dana itu terdiri daripada Petra Jaya Transport (S) Sdn Bhd, Biaramas Express Sdn Bhd dan Bau Transport Company Sdn Bhd;

Syarikat lain ialah City Public Link Bus Services Sdn Bhd, Lanang Road Bus Company Berhad, Rejang Transport Sdn Bhd, Sungei Merah Bus Berhad, Teku Road Bus Co Sdn Bhd, Miri Transport Co Sdn Bhd, Miri City Bus Sdn Bhd dan Miri Belait Transport Company Sdn Bhd.

“DBSPB bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bas berhenti-henti tetapi juga bertujuan untuk meningkatkan persepsi dan keyakinan para penumpang bas terhadap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

DBSPB yang dahulunya dikenali sebagai Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada tahun 2012 dengan penambahbaikan dibuat melalui pemeteraian perjanjian antara kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan dengan syarikat bas berhenti-henti.

“Program ini melibatkan 50 laluan di seluruh Sarawak iaitu 18 laluan adalah di Kuching, 18 di Sibu dan 14 di Miri yang merupakan pelengkap kepada Program Tambang Bas RM1 yang dijalankan oleh kerajaan Sarawak di bawah Subsidi Pengangkutan Awam di Kuching, Miri dan Sibu,” menurut kenyataan itu.

Ia turut bertujuan menangani kerugian operasi harian syarikat bas berhenti-henti bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, memulakan kembali laluan yang ditamatkan perkhidmatan dan mendorong peningkatan mutu perkhidmatan dengan menambah kekerapan perjalanan dan membaiki keadaan bas.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan program tambang RM1 di Sarawak telah bermula pada Mei 2020 dan hingga Disember 2020, ia telah mencapai jumlah kumulatif pengguna bas seramai 1.22 juta dan sebanyak RM5.2 juta subsidi telah dibayar kerajaan negeri kepada 12 syarikat bas.

Menurut kenyataan itu lagi, berikutan sambutan yang amat memberangsangkan daripada pengguna bas, program subsidi itu dilanjutkan tahun ini dan jumlah pengguna bas berhenti-henti pada Januari lepas seramai 186,512 orang dan melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM751,530.

Kedua-dua subsidi itu diharap mampu mengurangkan beban kewangan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan bas awam dan juga membantu mengurangkan kos operasi pengusaha bas berhenti-henti di negeri Sarawak. - Bernama