Taman Negara mula dikunjungi

Antara pelancong yang mula mengunjungi Taman Negara, Kuala Tahan pada Rabu.
Antara pelancong yang mula mengunjungi Taman Negara, Kuala Tahan pada Rabu.
A
A
A

JERANTUT - Pengusaha pelancongan di Taman Negara, Kuala Tahan di sini kini boleh menarik nafas lega setelah mula menerima kehadiran pelancong yang berkunjung dan menginap di premis mereka sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, pelancong yang datang hanya melibatkan penduduk Pahang dan dijangka bertambah dari masa ke masa manakala kehadiran pelancong dari luar masih belum diterima walaupun kerajaan telah membenarkan pelancong dari negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP lain bermula 10 Mac lalu.

Pengusaha Tebing Guest House, Leftenan Komander (Bersara) Mohd Rani Abdul Harun berkata, kehadiran pelancong yang mula menginap di premis miliknya sejak Selasa itu memberikan nafas baharu kepada pengusaha pelancongan sepertinya.

"Walaupun tak ramai tapi saya bersyukur sekurang-kurangnya ada pelanggan yang datang menginap di bilik yang kami tawarkan.

"Buat masa ini kebanyakannya mereka datang dari Kuantan dan kita juga ada terima pertanyaan pelancong dari luar Pahang cuma masih belum ada kepastian," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara mengakui syarat yang ditetapkan kerajaan dengan hanya membenarkan orang ramai melancong dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain menggunakan pengangkutan daripada agensi pelancongan ditetapkan turut memberikan kesan kepada mereka.

Mohd Rani menguruskan pelanggan yang menginap di premis miliknya di Tebing Guest House pada Rabu.
Mohd Rani menguruskan pelanggan yang menginap di premis miliknya di Tebing Guest House pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya ada impak positif dan negatif dengan tindakan ini tapi ia sebenarnya menambah kos kepada individu terbabit berbanding mereka menggunakan kenderaan persendirian.

"Selain itu, ada yang rasa kurang selesa bila terpaksa naik dengan orang luar. Secara peribadinya saya harap pelancong boleh guna kenderaan sendiri, namun apa pun kita perlu akur dengan arahan yang ditetapkan kerajaan," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengurus Hospitaliti dan Pelancongan Mutiara Taman Negara Resort (MTNR), Sabri Abdullah menjangkakan jumlah kehadiran pelancong akan bertambah selepas ini.

Katanya, buat masa ini, pihaknya telah menerima 30 pelancong dari luar Jerantut sejak beberapa hari lalu.

"Pada 20 dan 21 Mac, jumlahnya akan bertambah kerana ada pertandingan Bird Count di Taman Negara," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai syarat yang dikenakan kepada pelancong, Sabri mengakui keputusan kerajaan menggunakan agensi pelancongan agar jadual aktiviti mereka menjadi lebih tersusun namun pertambahan kos perlu ditanggung individu terbabit.

"Memang ada aduan mengapa mereka tidak boleh guna kenderaan persendirian tapi saya rasa kerajaan sudah mengambil kira faktor-faktor lain yang boleh membantu agensi pelancongan secara langsung," katanya.

Bagi pemilik Greenland Guesthouse, Afzal Abdul Aziz berkata, pihaknya masih belum beroperasi sepenuhnya kerana mereka masih melakukan kerja-kerja mengemas dan membersihkan bilik selepas premis dilanda banjir Januari lalu.

Katanya, meskipun masih belum beroperasi tetapi pihaknya sudah menerima tempahan dan mendapat pertanyaan orang ramai.

"Memang diakui bila menggunakan ejen pelancongan, saya sebagai pengusaha kecil memang sedikit terjejas kerana sudah pasti ejen pelancongan ada pilihan resort, hotel masing-masing," katanya yang telah membuka rumah tamu itu lebih 20 tahun lalu.