Pembangunan solar di Pulau Tioman tidak boleh jejas ekosistem marin - Wan Rosdy

KUANTAN - Cadangan pembangunan projek solar terapung luar pesisir di Pulau Tioman perlu mengambil kira aspek kelestarian ekosistem marin, khususnya kawasan terumbu karang dan hidupan laut di sekitar perairan pulau peranginan itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri pada prinsipnya menyokong cadangan Projek Penyelidikan Solar Terapung Pesisir Laut berkapasiti 780 kilowatt (kW) yang dilaksanakan oleh TNB Research.
Bagaimanapun, beliau berkata, kesesuaian lokasi pemasangan perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan tidak menjejaskan keindahan pesisir pantai, ekosistem marin serta keselamatan pelancong.
"Kita tahu Pulau Tioman merupakan antara pulau tercantik di dunia. Jadi, kita tidak mahu ekosistem sedia ada terjejas hanya kerana mahu melaksanakan projek ini.
"Aspek penyelenggaraan jangka panjang juga perlu diberi perhatian bagi memastikan projek berkenaan tidak memberikan kesan negatif terhadap persekitaran serta imej pelancongan Pulau Tioman," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dan soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berhubung pendirian serta perancangan kerajaan negeri terhadap cadangan projek tersebut.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, projek penyelidikan itu dilaksanakan oleh TNB Research dengan kerjasama SolarDuck dan HYDRO bagi mengkaji kebolehlaksanaan teknikal serta ekonomi teknologi solar terapung luar pesisir di Malaysia.
Menurutnya, kajian itu bertujuan meneroka alternatif bekalan elektrik bagi Pulau Tioman yang ketika ini masih bergantung kepada penjanaan diesel.
Beliau menjelaskan bahawa projek berkenaan bukan bertujuan menggantikan sistem penjanaan elektrik sedia ada, sebaliknya berfungsi sebagai nilai tambah kepada sumber bekalan tenaga di pulau tersebut.
"Teknologi ini mempunyai potensi besar untuk jangka panjang kerana mampu mempelbagaikan sumber penjanaan elektrik, mengurangkan kebergantungan kepada diesel serta meningkatkan kemampanan dan daya tahan bekalan elektrik," katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, cadangan projek tersebut telah diteliti oleh Jawatankuasa Teknikal Sumber Air dan Tenaga.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya perlu mengambil kira kedudukan lokasi yang berada dalam kawasan Taman Laut serta kawasan yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Tambah beliau, projek itu perlu memperoleh kelulusan serta mematuhi syarat teknikal dan perundangan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan, termasuk kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bagi pembinaan struktur dalam kawasan Taman Laut selaras dengan Seksyen 43(2) Akta Perikanan 1985.
"Kerajaan negeri kekal terbuka untuk mempertimbangkan pelaksanaan projek ini sekiranya semua keperluan perundangan, kelulusan teknikal dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi serta tidak menjejaskan ekosistem marin," katanya.
Mengulas kemungkinan teknologi tenaga boleh baharu itu diperluaskan ke kawasan lain di Pahang sekiranya kajian di Pulau Tioman menunjukkan hasil positif, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan meneliti dapatan projek perintis tersebut terlebih dahulu.
Katanya, antara aspek yang akan dinilai termasuk kesesuaian lokasi, keupayaan sistem grid menerima kapasiti penjanaan, daya maju ekonomi serta impak terhadap ekosistem marin dan biodiversiti.
"Kerajaan negeri akan meneliti hasil penyelidikan projek perintis ini sebagai antara asas pertimbangan terhadap potensi pembangunan teknologi solar di lokasi lain yang bersesuaian di Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

