Segerakan suntikan vaksin Covid-19: Muhyiddin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan orang yang pertama menerima Kad Vaksinasi MY Covid-19 sejurus selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 18 pada Rabu. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan orang yang pertama menerima Kad Vaksinasi MY Covid-19 sejurus selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 18 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Usai melengkapkan pengambilan dos vaksin Covid-19 pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, suntikan vaksin di negara ini perlu diberikan segera bagi menurunkan kes Covid-19 dengan pantas sekali gus memulihkan kehidupan serta ekonomi.

Sehubungan itu, beliau meminta semua rakyat Malaysia serta mereka yang berada di negara ini supaya mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Lebih cepat mereka dapat suntikan, lebih terjamin kesihatan mereka dan mungkin dengan cara itu kita dapat menurunkan kes Covid-19 di negara kita dengan lebih pantas.

“Ia sekali gus memulihkan kehidupan kita seperti sedia kala dan juga ekonomi negara kita seberapa cepat yang boleh,” katanya kepada media selepas selesai menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 18, di sini pada Rabu.

Muhyiddin menerima suntikan dos pertama pada 24 Februari.

Turut menerima suntikan dos kedua pada Rabu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis yang sebelum ini juga menjadi antara penerima terawal vaksin semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari lepas.

Suntikan dos kedua itu dilakukan selepas 21 hari kesemua mereka menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan.

Menurut Muhyiddin, lebih 5.6 juta individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini manakala lebih 360,000 telah disuntik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sewajarnya semakin bertambah setiap hari.

“Kita jangka dalam tempoh akan datang, vaksin makin lama makin bertambah untuk diterima Kementerian Kesihatan.

“Di seluruh negara, kita telah bekalkan dan siapa telah daftar serta mengikut keutamaan akan diberikan suntikan,” katanya.

Mengenai suntikan vaksin yang diterima hari ini, Muhyiddin berkata, beliau diberikan kad vaksinasi pintar yang menandakan telah selesai menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19.

“Tadi saya diserahkan satu kad dan kad ini akan digunakan untuk tujuan mana-mana perjalanan.

“Kalau ada pihak kawalan keselamatan ingin mengetahui saya telah diberikan suntikan kedua atau tidak. Saya boleh tunjuk kad tu dan boleh imbas dan ada suara mengatakan saya telah diberikan dos kedua,” katanya. - Bernama