Tubuh jabatan siasatan khas

Sehingga kini belum ada satu badan penyiasatan khas bagi jenayah sihir di negara ini.
Sehingga kini belum ada satu badan penyiasatan khas bagi jenayah sihir di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu badan penyiasatan khas bagi jenayah sihir di Malaysia perlu ditubuhkan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pakar undang-undang dan perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, ini kerana sehingga sekarang masih belum wujud lagi satu badan atau golongan pakar yang bertanggungjawab dalam proses melaksanakan jenayah sihir di negara ini.

Beliau berkata, maka perlu diwujudkan prosedur yang khusus bagi pendakwaan dan pembuktian jenayah sihir.

Justeru katanya, bagi menjamin ketelusan dalam siasatan dan kebolehpercayaan pada bukti dan keterangan yang dikemukakan, maka dicadangkan agar ditubuhkan satu badan penyiasatan khas tersebut.

“Terpulang untuk menamakan badan penyiasatan itu sebagai Jabatan Siasatan Jenayah Sihir atau apa-apa nama yang difikirkan sesuai di bawah PDRM.

“Oleh kerana ini melibatkan penyiasatan suatu jenayah yang sukar dikesan dengan mata kasar, maka ia perlu mempunyai beberapa pengkhususan dan antara pengkhususan terpenting ialah penubuhan penasihat daripada pelbagai bidang yang berkaitan sebagai ahli sebuah Lembaga Penasihat Khas kepada badan penyiasatan khas tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata, memang sukar untuk membuat pembuktian menggunakan Akta Keterangan (Evidence Act) sedia ada apabila jenayah yang berlaku ada kaitan dengan sihir.

Oleh itu, katanya, pindaan yang sewajarnya perlulah difikirkan dan dibincangkan oleh pakar perundangan, pakar penyiasatan, ahli sains, pakar amalan mistik dan sihir bersama-sama.

Artikel Berkaitan:

Mengulas berhubung peluang undang-undang jenayah sihir diwujudkan di negara ini, Khairil Azmin berkata, beliau melihat undang-undang itu mempunyai potensi untuk digubal.

ARTIKEL BERKAITAN: Wujudkan undang-undang jenayah ilmu hitam

Brunei negara terawal laksana undang-undang sihir

Namun katanya, ia memerlukan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam mengambil langkah yang wajar untuk menghasilkan undang-undang berkaitan dengan jenayah sihir.

“Bagi mengambil tindakan keras iaitu dengan membuat pendakwaan untuk kes jenayah sihir, maka perlulah akta yang dibuat oleh Parlimen atau enakmen yang dibuat oleh DUN (Dewan Undangan Negeri) digubal.

“Seeloknya peguam negara, polis dan pihak berkuasa agama negeri-negeri mengambil langkah yang pro-aktif dan meneruskan usaha mencapai hasrat ini kerana sudah lama usaha untuk mencapainya dilakukan tetapi belum lagi membuahkan hasil seperti mana yang diharapkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun sukar namun sihir masih boleh dibuktikan dan memerlukan kepakaran forensik, psikologi, kesihatan dan juga pengamal-pengamal perubatan tradisional daripada pelbagai bidang untuk menghasilkan undang-undang, tatacara dan kaedah pembuktian yang berkesan.

Beliau berkata, tidak semestinya terhad kepada pengamal perubatan Islam sahaja, malah pakar perubatan daripada agama lain juga boleh terlibat dalam penyiasatan perbincangan serta kajian.

Katanya, ini kerana yang menjadi mangsa bukan sahaja orang Islam, malah daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.

“Oleh itu, tidak mustahil untuk membuat undang-undang sedemikian kerana Brunei Darussalam ketika mengumumkan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah pada tahun 2013, antara peruntukan yang berkaitan amalan sihir ialah seksyen 152 iaitu kesalahan qatl (membunuh) dengan menggunakan ilmu sihir.

“Malah sudah ada jawatankuasa di peringkat kebangsaan berkaitan perkara ini dan ada laporan yang mengatakan deraf bagi undang-undang ini sudah selesai namun tiada laporan rasmi apakah statusnya sekarang?” katanya.