Brunei negara terawal laksana undang-undang sihir

Mahyuddin bersama pasukannya iaitu Jawatankuasa Kajian Lanjut Undang-undang Sihir pernah dijemput kerajaan Brunei untuk membantu dari segi memberi latihan kepada hakim-hakim untuk mengenal pasti amalan sihir dari sudut pembuktian, keterangan dalam mahkamah termasuk saksi.
Mahyuddin bersama pasukannya iaitu Jawatankuasa Kajian Lanjut Undang-undang Sihir pernah dijemput kerajaan Brunei untuk membantu dari segi memberi latihan kepada hakim-hakim untuk mengenal pasti amalan sihir dari sudut pembuktian, keterangan dalam mahkamah termasuk saksi.
A
A
A

SHAH ALAM - Brunei Darussalam antara negara terawal yang memulakan langkah untuk mewujudkan undang-undang jenayah berkaitan sihir.

Negara itu mengumumkan pelaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah di negara itu dan antara hukuman yang dimasukkan adalah berkaitan kesalahan menggunakan ilmu sihir pada tahun 2013.

Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Mahyuddin Ismail berkata, terdapat beberapa seksyen yang diperuntukkan untuk kesalahan berkaitan sihir iaitu di bawah Seksyen 152, 153 dan 154 serta Seksyen 208.

Beliau berkata, bagi Seksyen 152, 153 dan 154 ia berkaitan kesalahan termasuk membunuh dan cedera akibat perbuatan sihir.

“Hukuman dikenakan bagi kesalahan itu ibarat jenayah qisas.

“Sementara bagi Seksyen 208 ia melibatkan kesalahan mengamalkan ilmu sihir serta mengiklan perkhidmatan sihir dalam apa-apa bentuk,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Wujudkan undang-undang jenayah ilmu hitam

Tambah beliau, walaupun hukuman-hukuman itu sudah dimasukkan ke dalam Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah di Brunei, ia masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan Brunei masih dalam proses atau kajian untuk membentuk SOP (prosedur operasi standard) cara pembuktian bagi jenayah sihir tersebut.

“Sebab itu mereka lakukan secara berfasa, malah saya bersama pasukan saya iaitu Jawatankuasa Kajian Lanjut Undang-undang Sihir pernah dijemput oleh kerajaan Brunei pada 2016 untuk membantu mereka dari segi memberi latihan kepada hakim-hakim di sana bagaimana untuk mengenal pasti amalan sihir dari sudut pembuktian, keterangan dalam mahkamah termasuk saksi,” katanya.

Sementara itu, Mahyuddin berkata, memandangkan kajian serta draf undang-undang berkaitan jenayah sihir sudah ada, beliau menyarankan pihak berwajib khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri untuk mengambil serius isu jenayah sihir termasuk cadangan berkaitan mewujudkan undang-undang jenayah ilmu hitam itu.

“Pihak berkuasa perlu memperhalusi perkara tersebut walaupun ramai yang melihat pembuktian jenayah sihir sebagai kekangan utama untuk menggubal undang-undang ini,” katanya.