Berang depan rumah jadi tempat parkir, kerani minta bantuan polis

Polis mengalihkan sebuah kereta Perodua Kancil yang diparkir di hadapan pintu pagar rumah Ahmad Tarmizi di Taman Widuri Indah, Senawang, Seremban. - Foto ihsan Ahmad Tarmizi
Polis mengalihkan sebuah kereta Perodua Kancil yang diparkir di hadapan pintu pagar rumah Ahmad Tarmizi di Taman Widuri Indah, Senawang, Seremban. - Foto ihsan Ahmad Tarmizi
A
A
A

SEREMBAN - Seorang kerani terpaksa meminta bantuan polis apabila hadapan rumah keluarganya di Taman Widuri Indah, Senawang, di sini sering dijadikan tempat parkir kenderaan.

Ahmad Tarmizi Mad Salleh, 31, berkata, masalah tersebut telah membelenggunya sejak beberapa tahun lalu tanpa ada penyelesaian meskipun telah membuat aduan kepada pihak berwajib.

Akibat tindakan tersebut, seorang pemilik kenderaan dikenakan saman pada Selasa dan kejadian itu turut tular di laman sosial Facebook.

Ahmad Tarmizi berkata, dia sudah puas bersabar dan pernah bergaduh dengan jirannya disebabkan masalah itu.

"Rumah saya 'end lot'. Jadi orang suka parkir di luar pagar rumah dan keadaan itu menyusahkan saya.

"Macam pagi tadi (Selasa) saya dah tak tahan lagi bila nak keluar rumah tengok ada dua buah kereta parkir. Atas nasihat seorang rakan saya hubungi polis untuk minta bantuan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam tempoh setengah jam dua anggota polis bermotosikal datang dan tindakan dilakukan ialah mengesan pemilik kedua-dua kenderaan itu iaitu sebuah kereta Proton Saga dan Perodua Kancil.

Bagaimanapun katanya, hanya pemilik Proton Saga yang berjaya dikesan yang kemudian telah datang mengalihkan keretanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan kereta yang diletakkan di hadapan pintu pagar rumah Ahmad Tarmizi di Taman Widuri Indah, Senawang, Seremban. - Foto ihsan Ahmad Tarmizi
Keadaan kereta yang diletakkan di hadapan pintu pagar rumah Ahmad Tarmizi di Taman Widuri Indah, Senawang, Seremban. - Foto ihsan Ahmad Tarmizi

"Jadi polis telah mengalihkan kereta Perodua Kancil itu di tempat lain selepas didapati sebelah pintunya tidak berkunci selain bertindak mengeluarkan saman.

"Terima kasih kepada polis yang membantu selesaikan masalah yang membelenggu saya selama ini. Pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pun ada datang.

"Saya tidak akan ambil tindakan begini jika mampu selesaikannya dan saya pun bukan mahu aibkan sesiapa," katanya.

Kata Ahmad Tarmizi, dia bukannya saja-saja membuat laporan kepada polis tetapi masalah orang parkir kereta di depan rumahnya telah menyusahkan dia sekeluarga.

"Saya boleh faham jika ada yang sekadar mahu parkir sekejap. Tapi ini terus jadikan depan rumah saya ini 'port parkir,'" katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, dia percaya masalah dihadapinya itu turut dialami orang lain dan berharap perkongsiannya di Facebook dapat memberi kesedaran kepada mereka yang suka parkir sesuka hati di depan rumah orang.