Polis kena saman trafik di Bukit Aman

Ops Khas di Bukit Aman pada Selasa dalam mengesan pesalah lalu lintas dalam kalangan warga kerja PDRM. - Foto: JSPT Bukit Aman
Ops Khas di Bukit Aman pada Selasa dalam mengesan pesalah lalu lintas dalam kalangan warga kerja PDRM. - Foto: JSPT Bukit Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 146 saman trafik dalam Ops Khas di Bukit Aman, di sini pada Selasa.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi mengejut itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JSPT bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bermula jam 7 pagi.

Menurutnya, operasi di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu bertindak memeriksa kenderaan yang digunakan oleh warga kerja PDRM yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

Sebanyak 280 kenderaan telah diperiksa dan 146 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. - Foto: JSPT Bukit Aman
Sebanyak 280 kenderaan telah diperiksa dan 146 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. - Foto: JSPT Bukit Aman

"Sebanyak 280 kenderaan telah diperiksa dan 146 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

"Antara saman yang direkodkan adalah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (fancy), tiada cermin sisi, tiada cukai jalan dan ubah suai ekzos," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan adalah secara menyeluruh.

Katanya, tindakan saman ke atas pesalah lalu lintas bukan hanya melibatkan orang awam semata-mata, namun pegawai dan anggota PDRM juga tidak terkecuali.

Artikel Berkaitan:

"PDRM kekal tegas dalam memastikan pegawai dan anggotanya agar sentiasa patuh dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat amnya," katanya.