Wan Hassan dilantik CP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman

Wan Hassan - Foto Bernama
Wan Hassan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mendahului senarai pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dilantik sebagai CP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 22 Mei depan.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh pula akan menggantikan Wan Hassan sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner.

Menurutnya, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Beliau berkata, Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd Noor akan menggantikan Mohd Roze sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah dengan memangku pangkat Deputi Komisioner.

"Ketua Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid pula dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Kuala Lumpur yang baharu,” katanya.

Selain itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

"Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos pula akan menggantikan Azman sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan dengan memangku pangkat Deputi Komisioner,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali dilantik sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Johor, Asisten Komisionar Awang Din Awang Gani dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Kesemua mereka adalah antara sembilan daripada 18 pegawai kanan PDRM yang terlibat dalam pertukaran berkuat kuasa 22 Mei ini. - Bernama