X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Angka kes baharu terus menurun: Dr Noor Hisham

DR NOOR HISHAM
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 terus merekodkan penurunan kepada 1,208 kes hari ini berbanding 1,354 pada hari sebelumnya, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara kini menjangkau 324,971.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 1,199 daripada jumlah kes pada Isnin melibatkan kes tempatan dan sembilan lagi adalah kes import.

Beliau berkata, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini menunjukkan penurunan kepada 15,511 kes dalam tempoh yang sama berbanding 16,279 pada hari sebelumnya, dengan 1,973 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan pulih kini 308,247 kes.

"Selain itu, tiga kes kematian dilapor menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu kini 1,213," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian itu melibatkan masing-masing satu di Selangor, Johor dan Sarawak, manakala 155 kes dimasukkan di Unit Rawatan Rapi dengan 70 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, tiga negeri yang merekodkan kes tertinggi adalah Selangor dengan 379 kes, Sarawak (251) dan Johor (118).

Mengenai kluster baharu, beliau berkata, daripada 13 kluster yang dikenal pasti melibatkan lapan negeri hari ini, 12 kluster membabitkan tempat kerja dan satu kluster keagamaan.

Kluster tempat kerja ialah kluster Sungai Puloh, Batu Tiga Lama dan Perusahaan Amari di Selangor; Jalan Mega Lima, Jalan Delima dan Batu 19 di Johor; Jalan Tanjung di Sarawak; Industri Gunung Mas di Negeri Sembilan; Jalan Lapan Belas di Kuala Lumpur; Tapak Bina Meha di Kedah; Kampung Air Batang di Pahang dan Chendering Height di Terengganu.

Kluster keagamaan pula melibatkan kawasan di Jalan Sekerat, Kedah.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, 819 kluster telah tamat termasuk enam kluster hari ini iaitu kluster Jalan Tropicana, Pengkalan Teras, Jalan Perindustrian Getah, Lengkok Pantai, Tabong dan Jalan Niaga.

“Jumlah kluster aktif adalah sebanyak 431 kluster manakala kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini ialah kluster Tanjung Suria dan Ladang Bukit masing-masing dengan 29 kes dan kluster Jalan Mega Lima (22 kes),” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!