Penganggur diberkas miliki senapang angin buatan sendiri

Arifai menunjukkan senapang angin yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Nakhoda Batu Caves pada Jumaat lalu.
Arifai menunjukkan senapang angin yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Nakhoda Batu Caves pada Jumaat lalu.
A
A
A

GOMBAK - Seorang penganggur diberkas di rumahnya di Kampung Nakhoda Batu Caves pada Jumaat lalu kerana memiliki senapang angin buatan sendiri untuk memburu ayam hutan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.15 pagi itu.

"Pemeriksaan menemui beberapa barangan termasuk satu senapang angin, dua tabung angin dan bebola besi.

"Soal siasat dilakukan mendapati suspek menghasilkan sendiri senjata berkenaan dengan mempelajarinya menerusi Internet," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, soal siasat lelaki terbabit mengaku menghasilkan senjata berkenaan untuk memburu ayam hutan dengan menggunakan bebola besi sebagai peluru.

Katanya, suspek direman enam hari sehingga 17 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Dalam satu kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 58 tahun di Taman Putra, Ampang pada Khamis yang dipercayai terbabit dengan kegiatan samun rantai emas di Taman Ehsan, Selayang pada 5 Mac lalu.

Tambahnya, dalam kejadian itu, pengadu berusia 57 tahun memaklumkan ibunya yang berada di rumah mereka bersendirian didatangi dua lelaki memperkenalkan diri sebagai juruteknik penyelenggara pendingin hawa sebelum dipelawa masuk.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian, suspek terus menarik rantai emas mangsa sehingga mangsa terjatuh,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk memburu seorang lagi suspek dan siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.