11 lelaki sabung ayam pada Jumaat diberkas

Lokasi 11 lelaki yang leka melakukan aktiviti 'terkutuk' sabung ayam diberkas polis dalam serbuan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Lokasi 11 lelaki yang leka melakukan aktiviti 'terkutuk' sabung ayam diberkas polis dalam serbuan di Tok Bali, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kesucian Jumaat sebagai penghulu hari bagi umat Islam dicemari apabila 11 orang lelaki yang leka melakukan aktiviti 'terkutuk' sabung ayam diberkas polis dalam serbuan di Tok Bali, di sini.

Serbuan pada jam 11.15 malam itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh turut merampas 13 ekor ayam yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, kesemua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia antara 21 hingga 57 tahun.

"Pada masa sama, kita turut merampas wang tunai berjumlah RM6,806 dipercayai untuk tujuan pertaruhan.

"Kelengkapan judi sabung ayam turut kita rampas. Hasil pemeriksaan di lokasi membawa kepada penemuan satu tong ais yang mengandungi 10 botol cecair keperangan disyaki air ketum," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Pasir Puteh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Zaizul Rizal berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian dan penyalahgunaan dadah.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkait dengan perkara yang menyalahi undang-undang boleh menyalurkan terus kepada pihak polis dengan segera.