Penganggur ditahan miliki dadah RM45,550

Kok Chin (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.
Kok Chin (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penganggur ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM45,550 pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan bersama 520 gram syabu bernilai RM20,500 ketika berada di atas sebuah motosikal di hadapan sebuah kedai di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, pada jam 5.25 petang.

Menurutnya, susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke kawasan parkir kereta di sebuah pangsapuri, kira-kira satu kilometer dari lokasi pertama dan menemui empat peket plastik lutsinar mengandungi 1,820 gram heroin bernilai RM25,050 di dalam sebuah kenderaan.

"Suspek bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu mempunyai tiga rekod melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Bagaimanapun, ujian air kencing suspek negatif dari sebarang dadah. Kesemua dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini.

Kok Chin menambah, polis turut merampas dua kereta bernilai RM180,000 dan sebuah motosikal berjenama RM18,000 dengan sitaan harta RM240,550.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 20 Mei ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seramai 37 pengunjung pusat hiburan di Bukit Mertajam, di sini termasuk 16 wanita ditahan kerana positif dadah dalam satu operasi antara jam 12.30 tengah malam hingga 5 pagi pada Isnin.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 40an direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.