X

Kindly register in order to view this article
!

Hari Pengguna Kebangsaan pada 15 Mac setiap tahun

ALEXANDER NANTA LINGGI
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan bersetuju menerima cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjadikan 15 Mac sebagai Hari Pengguna Kebangsaan setiap tahun.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tarikh tersebut dipilih bersempena dengan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia yang disambut serentak seluruh dunia setiap tahun anjuran Consumers International sejak 1983.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun yang bersejarah kerana buat pertama kalinya sambutan tersebut dijalankan pada tarikh sama.

“KPDNHEP merasakan telah tiba masanya sumbangan pengguna diiktiraf dan diraikan di dalam satu tarikh yang khusus dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang pengguna di Malaysia, tidak mengira kaum, agama, jantina dan peringkat umur,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, Menangani Pencemaran Plastik dipilih sebagai tema hari tersebut disebabkan ia merupakan salah satu isu dan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini terhasil dari pengurusan buangan yang tidak berhemah dan teratur.

Menurutnya, kerajaan komited dengan gagasan tersebut dan akan bersama dengan badan dunia untuk menangani pencemaran terutama disebabkan oleh plastik melalui pengurangan penggunaannya.

Tambahnya, peraturan penggunaan plastik sekali guna akan diteruskan serta dipertingkatkan sehingga pengguna memahami bahayanya kepada kehidupan dan bumi.

“Di masa yang sama, kementerian akan terus mendidik dan membentuk pengguna sehingga pengguna di Malaysia menjadi entiti yang tahu hak mereka, bijak, bermaklumat, berdaya-upaya dan berani bertindak.

“KPDNHEP juga akan terus mengadakan pelbagai program advokasi bersama-sama agensi kerajaan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna dan persatuan pengguna di negara ini seiring dengan negara maju yang lain.

“Pelbagai program dan aktiviti akan terus dilaksanakan termasuk libat-urus bersama persatuan pengguna di peringkat nasional mahupun universiti dan sekolah serta advokasi di media arus perdana, media sosial dan digital,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Alexander berkata, Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia ketika ini berada di peringkat sederhana iaitu 63.1 peratus.

Tambahnya, kementerian mensasarkan indeks tersebut dapat ditingkatkan melebihi 85 peratus dalam masa dua tahun dan akan terus membantu persatuan pengguna di semua peringkat bagi tujuan tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!