Tabung Khas Hakmilik Strata bantu golongan B40

DR SHAMSUL ANUAR
DR SHAMSUL ANUAR
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan menubuhkan Tabung Khas Hakmilik Strata bagi membantu pemilik rumah bangunan terutama golongan B40 menyelesaikan pemilikan berstrata kediaman mereka.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, bangunan khas adalah bangunan yang tiada dokumen Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Layak Menduduki (CF).

Katanya, bangunan berkenaan telah diduduki sebelum Jun 1996 (perakuan automatik) atau dari Jun 1996 hingga 11 April 2007 (perakuan daripada Pihak Berkuasa Negeri).

“Kegagalan permohonan hak milik strata bangunan khas disebabkan pemilik asal atau pemaju telah tiada.

“Kemudian, skim perumahan ini mempunyai masalah kewangan untuk memohon hak milik strata walaupun dalam keadaan pelikuidasi telah dilantik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pelaksanaan tabung berkenaan membantu pembeli terutama bagi kediaman yang dikategorikan sebagai kos rendah untuk mendapatkan hak milik strata selain memudahkan urus niaga hartanah bangunan khas.

“Urusan pembahagian harta pusaka oleh waris kepada pembeli kediaman yang telah meninggal dunia juga dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya pemilikan berstrata ini diselesaikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, tabung tersebut boleh menerima peruntukan daripada kerajaan dan sumbangan daripada mana-mana pihak sama ada perseorangan, pihak swasta, institut atau mana-mana entiti dari dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Penyumbang kepada Tabung Khas Hakmilik Strata ini boleh mendapat penolakan cukai 100 peratus secara terus mengikut subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Lembaga Jurukur Tanah Malaysia antara penyumbang pertama tabung ini dengan memperuntukkan RM2 juta kepada skim Pangsapuri Shangri-La, Taman Seri Cheras, Selangor, Taman Indah Fasa 1, Pulau Pinang, Pangsapuri Taman Tap, Teluk Intan, Perak dan Taman Permai Ria Blok 24 dan 26, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap badan korporat yang lain turut menyumbang ke dalam tabung tersebut bagi membantu penduduk rumah kos rendah untuk mendapatkan hakmilik strata.