Polis nafi keluar kompaun RM10,000

Tangkap layar aduan kononnya pembantu tukang masak dikompaun dikongsikan oleh Uncle Kentang menerusi Facebook miliknya.
Tangkap layar aduan kononnya pembantu tukang masak dikompaun dikongsikan oleh Uncle Kentang menerusi Facebook miliknya.
A
A
A

IPOH - Polis menafikan pihaknya telah mengenakan kompaun RM10,000 terhadap seorang pembantu tukang masak kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang ditularkan di laman Facebook pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, semakan mendapati tiada kompaun dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ipoh.

“Semakan lanjut dengan pemilik akaun Facebook Kuan Chee Heng mendapati pengadu gagal dihubungi menerusi nombor telefon yang diberikan bagi membuat pengesahan dakwaan yang ditularkan.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Polis Balai Kampung Rapat mengenai perkara yang tular tersebut bagi menyiasat punca sebenar dakwaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Perkara itu dimuatnaik oleh Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang yang menyatakan seorang ibu menangis membuat panggilan video kepadanya bahawa anaknya disaman ketika lepak di lorong belakang restoran untuk hisap rokok di Ipoh.

Akibat disaman, anaknya itu tidak boleh lagi boleh mengirim wang kepada ibunya di Kuala Lumpur selama beberapa bulan kerana terpaksa berhutang dengan restoran untuk bayar saman dan gaji akan di potong.

Perkara itu turut dikongsikan oleh Facebook Najib Razak milik Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Asmadi menegaskan bahawa pihaknya menjalankan amanah penguatkuasaan undang-undang dengan adil dan profesional.

Artikel Berkaitan:

“Khususnya dalam membantu mengawal penularan wabak Covid-19 melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

“Masyarakat dinasihatkan sentiasa peka dan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan bagi mengelak tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, segala permasalahan atau maklum balas berkaitan tindakan oleh pihak polis perlu disalurkan melalui saluran yang betul.

“Dan bukannya disebarkan sewenang-wenangnya melalui media sosial tanpa disokong oleh fakta sebenar.

“Ia bagi mengelakkan penyebaran maklumat palsu hingga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.