JKNT nafi penularan Covid-19 di tujuh sekolah di Dungun

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan berita tular yang mendakwa terdapat penularan baharu Covid-19 melibatkan tujuh sekolah di daerah Dungun. - Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan berita tular yang mendakwa terdapat penularan baharu Covid-19 melibatkan tujuh sekolah di daerah Dungun. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan berita tular yang mendakwa terdapat penularan baharu Covid-19 melibatkan tujuh sekolah di daerah Dungun.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga Ahad, belum ada kes positif Covid-19 yang melibatkan mana-mana sekolah di negeri itu.

"Pihak jabatan menafikan sepenuhnya berita yang tular itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dr Nor Azimi berkata, pihaknya meminta kerjasama orang awam agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih.

"Berita tidak sahih sebegini menyebabkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

"Sehubungan itu, JKNT meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak sahih," katanya.

Pada Sabtu tular di media sosial terutama di aplikasi WhatsApp memaklumkan terdapat penularan baharu Covid-19 yang kononnya melibatkan tujuh sekolah di Dungun.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada kakitangan Petronas Penapisan iaitu enam daripada 20 kakitangan di situ disahkan positif.

Artikel Berkaitan: