Belum masanya untuk rentas negeri: KKM

KKM memaklumkan belum masanya kebenaran untuk rentas negeri diberikan walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan penurunan setiap hari. -Foto Bernama
KKM memaklumkan belum masanya kebenaran untuk rentas negeri diberikan walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan penurunan setiap hari. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan belum masanya kebenaran untuk rentas negeri diberikan walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan penurunan setiap hari.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa kluster baharu telah dikesan akibat pergerakan rentas negeri yang menunjukkan pandemik tersebut masih berbahaya dan jangkitan mudah berlaku.

Tambah KKM, pihaknya mengambil contoh Kluster Bukit Bayas di Terengganu dan Kluster Pasai di Sarawak yang berlaku akibat aktiviti rentas negeri untuk menziarahi ahli keluarga meninggal dunia.

“Bermula dengan majlis tahlil yang dihadiri 45 ahli keluarga termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang akhirnya ia menjadi kluster apabila 15 daripada mereka disahkan positif Covid-19.

"Kontak rapat keluarga menjangkiti kontak rapat di tempat kerja dan kontak rapat sosial termasuk rakan joging serta rakan bermain golf.

"Kluster Bukit Bayas adalah kluster rentas negeri terbaharu di Terengganu membabitkan 48 kes positif setakat 12 Mac dan merebak di lima daerah," kata KKM dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi berkata, kes tersebut pernah berlaku di Besut, Terengganu, apabila ahli keluarga dari Kuantan dan Johor menziarahi nenek berusia 100 tahun yang sakit tua.

Pergerakan tersebut menyebabkan lima ahli keluarga dikesan positif Covid-19 termasuk nenek yang uzur dan akhirnya meninggal dunia.

Dalam pada itu, KKM turut memaklumkan, Kluster Pasai di Sarawak pula melibatkan aktiviti rentas negeri kes indeks dari Johor yang pulang ke Sibu bagi menghadiri pengebumian mendiang bapanya sebelum menyebarkan jangkitan ke rumah panjang.

“Lebih 2,600 individu dikesan positif dan kluster itu masih aktif dan merebak hingga generasi keenam. Dua kluster ini menjadi contoh mengapa pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan," katanya.

Pergerakan rentas negeri untuk kes kecemasan dibenarkan namun individu yang mahu berbuat demikian perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk melindungi ahli keluarga daripada risiko penularan Covid-19.

Jika diri kita kurang sihat dan bergejala, langkah paling selamat untuk diri sendiri dan orang lain ialah tidak perlu rentas negeri.