X

Kindly register in order to view this article
!

Masukkan kes rasuah pernah berlaku dalam silibus pendidikan

Khairil Nizam ketika memberikan pandangannya dalam forum atas talian bertajuk ‘Rasuah Sudah Menjadi Budaya Bangsa’ pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Sesi pengajaran yang berkaitan amalan rasuah perlu memasukkan kes rasuah yang pernah berlaku di negara ini sebagai contoh kepada pelajar.

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, langkah tersebut penting kerana ia bukan sahaja mampu memberikan pendedahan malah turut menjadi pengajaran kepada mereka yang bersalah.

Menurutnya, pesalah yang terbukti bersalah perlu diberikan pengajaran yang sebaiknya dengan menjadi contoh kepada pelajar dalam sistem pendidikan.

“Saya pernah ada pengalaman bekerja di sebuah syarikat yang mana sekiranya ada individu yang telah terbukti bersalah dalam kes mahkamah, maka mereka dijadikan ‘case study’ (kajian kes).

“Di Malaysia pun ramai (kes rasuah) tetapi mereka ini tidak didedahkan. Kenapa? Kita pun tidak tahu,” katanya ketika bercakap di dalam forum atas talian yang dianjurkan oleh oleh Allied Coordinating Council of Islamic NGOs (ACCIN) pada Sabtu.

Forum bertajuk ‘Rasuah Sudah Menjadi Budaya Bangsa’ dan disiarkan di Facebook ACCIN itu turut melibatkan dua lagi panelis iaitu Felo Insitute of Corporate Directors Malaysia (ICDM), Datuk Ahmad Nazim Rahman dan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohd Khairul Anwar Ismail.

Khairil berkata, pengalaman beliau yang pernah bekerja di dalam sektor swasta menunjukkan bahawa amalan rasuah sememangnya telah berakar umbi dalam masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa masih ada ruang dan cara yang boleh dilakukan terutama dalam usaha untuk memberikan pendedahan dan pendidikan kepada generasi baharu terhadap kegiatan rasuah.

“Saya cadangkan supaya subjek rasuah ini ditanamkan dan dijadikan subjek teras di dalam pendidikan Islam ataupun moral daripada bawah.

“Kita kena tanam daripada bawah ini supaya tidak ada penghormatan kepada mana-mana individu yang mengambil rasuah kerana kita tahu rasuah ini adalah penyakit dan barah kepada masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpendapat bahawa pihak yang terlibat dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) perlu memperhalusi dan memperjelaskan lagi definisi rasuah.

Katanya, ini kerana masih terdapat kekeliruan dalam kalangan ahli politik dan masyarakat terhadap definisi sebenar yang menyebabkan sesuatu tindakan itu dianggap sebagai rasuah.

“Sebagai contoh, perbezaan antara hadiah dan juga rasuah itu hanya dibezakan dengan satu garis pemisah yang sangat halus.

“Sebab itu timbul perkataan seperti derma politik untuk melepaskan ahli politik daripada tersangkut dengan kes rasuah. Oleh itu, saya berpendapat GIACC, insya-ALLAH akan mengambil pendekatan yang lebih teliti bagi supaya kerangka rasuah ini dapat diperhalusi.

“Ini bagi memastikan supaya tidak timbul perkataan seperti ‘rent-seeking’ dan derma politik untuk melepaskan mereka ini daripada mendapat laba atau dana yang besar bagi kepentingan diri masing-masing," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!