Pemantauan, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketat tangani rasuah

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan bagi menangani isu salah laku rasuah dalam semua bentuk termasuk jenayah penyeludupan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kes penyeludupan yang berlaku di pintu sempadan menggugat keselamatan negara kerana barang-barang diseludup boleh membawa ancaman serta impak negatif kepada ekonomi dan masyarakat.

"Situasi yang melibatkan penahanan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terlibat sindiket itu amat serius dan memerlukan tindakan segera semua pihak berkuasa dalam negara ini terutamanya jabatan tersebut sendiri.

"Jabatan kastam perlu meningkatkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan pengawasan dalam organisasinya selain sentiasa adakan pemeriksaan yang lebih cekap serta teliti sebagai langkah mengatasi ia menular dalam kalangan anggota," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Baru-baru ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 anggota dan pegawai JKDM) yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup membabitkan ketirisan hasil cukai RM2 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penjawat awam yang ditahan berusia 30-an hingga 50-an terdiri pembantu penguat kuasa sehingga ke penolong pengarah kastam yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan di Cawangan Import/Eksport di KLIA Kargo, Sepang.

Katanya, pegawai dan anggota kastam tersebut dikesan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

Dalam pada itu, tambah Jais, kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKDM juga penting dalam memerangi jenayah berkenaan secara holistik.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kesedaran dan pendidikan terhadap masyarakat turut perlu ditingkatkan bagi menggalakkan pelaporan jenayah rasuah dan penyeludupan.

"Dengan usaha bersama, kita boleh membanteras isu rasuah di sempadan sekali gus dapat menjaga keselamatan serta kedaulatan negara," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!