X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga disogok bayaran sewa kedai dengan syarat sedia meja judi

PPPPIKMJB menerima laporan daripada peniaga mendakwa terdapat kegiatan perjudian dalam talian melibatkan premis perniagaan terutamanya restoran di sekitar bandar raya JB. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A

JOHOR BAHRU - Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu, Johor Bahru (PPPPIKMJB) mendakwa ada individu menawarkan kepada peniaga restoran di bandar raya ini untuk membayarkan sewaan bulanan premis perniagaan mereka dengan syarat menyediakan meja khas untuk aktiviti perjudian dalam talian.

Setiausaha PPPPIKMJB, Mohammad Salezan Mohd Salleh berkata, malah individu terbabit juga meletakkan syarat supaya peniaga perlu membuka perniagaannya sepenuh masa dan memberi jaminan agar tidak perlu bimbang kerana aktiviti perjudian dan kawasan berkenaan dilindungi oleh pihak tertentu.

"Persatuan (PPPPIKMJB) menerima laporan daripada beberapa peniaga yang mendakwa terdapat kegiatan perjudian dalam talian melibatkan premis perniagaan terutamanya restoran di sekitar bandar raya ini.

"Kita sedia maklum bahawa semua sektor perniagaan mengalami kemerosotan pendapatan termasuk pengusaha restoran kerana terpaksa menanggung bebanan sewaan bulanan premis. Akibat itu, ‘tauke judi’ mengambil kesempatan untuk mengembangkan aktiviti perjudian mereka," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, PPPPIKMJB memandang serius dakwaan tersebut dan berharap pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan yang tegas terhadap kegiatan perjudian dalam talian sekiranya kegiatan terbabit benar-benar berlaku.

Mohammad Salezan berkata, pihaknya sehubungan itu menasihati masyarakat terutamanya peniaga restoran di bandar raya ini agar tidak mengambil jalan pintas dengan menerima tawaran daripada tauke judi terbabit sebagai melepaskan bebanan dan akhirnya merosakkan aktiviti perniagaan yang dijalankan selama ini.

"Persatuan bimbang sekiranya aktiviti terbabit dibiarkan berlaku kerana ia akan menyebabkan masalah sosial, keruntuhan rumah tangga dan seterusnya merosakkan bangsa dan negara.

"Berpegang teguhlah kepada prinsip agama dan berusahalah untuk mendapatkan pendapatan yang lebih berkat. Jauhilah perniagaan yang mempunyai hubungan dan unsur-unsur perjudian," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!