PM peroleh perintah mahkamah halang Puad terbit kenyataan fitnah

Muhyiddin (kiri) dan Mohd Puad (kanan)
Muhyiddin (kiri) dan Mohd Puad (kanan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat memperoleh perintah mahkamah bagi menghalang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi daripada menerbitkan semula kenyataan yang didakwa memfitnah berhubung perintah kuarantin yang melibatkan perdana menteri di laman Facebooknya (Mohd Puad).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan injunksi ad interim yang dimohon oleh Muhyiddin sementara menunggu perbicaraan injunksi inter-parte (antara pihak) pada 24 Mei.

Injunksi ad interim berfungsi untuk melindungi sementara plantif yang menfail tuntutan dengan mengekalkan status quo.

Pada 1 Mac lepas Muhyiddin memperoleh perintah injunksi interim ex-parte (sebelah pihak) dari mahkamah untuk menghalang Mohd Puad daripada membuat sebarang kenyataan sementara menunggu perbincaraan inter-parte yang dijadualkan pada Jumaat.

Peguam, Muhyiddin, Rosli Dahlan ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, hakim membenarkan permohonan (injunksi ad interim) anak guamnya dengan terma yang sama dengan perintah injunksi interim ex-parte (pada 1 Mac).

“Ini bermakna defendan (Mohd Puad) tidak boleh membuat sebarang kenyataan, atau kata-kata sehingga perbincaraan inter-parte selesai. Perintah ex-parte berlangsung untuk tempoh 21 hari, iaitu hingga 21 Mac; dan selepas tarikh 21 Mac, ia akan dinamakan injunksi interim,” katanya

Sementara itu Shahrul Fazli Kamaruzaman yang mewakili Mohd Puad berkata, injunksi interim itu bertujuan mengekalkan status quo perintah ex-parte yang diperoleh perdana menteri pada 1 Mac.

Beliau berkata mahkamah menetapkan hari yang sama (24 Mei) untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi mengetepikan perintah injunksi interim itu.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini pihak-pihak telah berbincang dan memerlukan masa memasukkan hujahan serta afidavit masing-masing. Oleh itu, peguam yang mewakili perdana menteri memohon satu perintah untuk injunksi ‘ad interim’ bagi menyambung perintah injunksi ex-parte yang akan tamat pada 21 Mac. Pihak defendan juga tidak membantah permohonan injunksi ad interim itu," katanya.

Dalam permohonan ex-parte, Muhyiddin memohon injunksi interim bagi menghalang Mohd Puad sebagai defendan, atau ejennya, wakilnya atau sesiapa jua daripada menerbitkan semula, menyiarkan semula dan berkongsi semula hantaran membabitkan kenyataan fitnah berhubung perkara di laman Facebook milik Mohd Puad.

Muhyiddin menfailkan permohonan atas alasan hantaran yang dibuat oleh Mohd Puad adalah palsu, memfitnah dan telah menyebabkan reputasi serta nama baik perdana menteri itu di Malaysia dan peringkat antarabangsa terjejas.

Muhyiddin berkata, permohonan itu perlu dibuat secara ex-parte kerana jika notis diberikan kepada defendan, terdapat risiko bahawa defendan akan mensensasikan permohonan berkenaan menyebabkan pembaca akan berkongsi lanjutan hantaran berkenaan.

Permohonan ex-parte difailkan bersama dengan writ saman terhadap Mohd Puad. Dalam writ saman yang difailkan atas kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa pada pada 9 Feb lepas, Mohd Puad menerbitkan suatu hantaran di laman Facebooknya di bawah nama "DrPuad Zarkashi" bertajuk 'Kuarantin pun ada dua darjat?'.

Muhyiddin mendakwa hantaran itu boleh diakses oleh pengguna internet di seluruh dunia dan telah menerima lebih daripada 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.

Muhyiddin turut mendakwa hantaran itu merujuk kepada "PM" iaitu singkatan kepada perdana menteri selain mendakwa hantaran itu mengandungi penyataan yang jelas sekali tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta telah memfitnahnya.

Muhyiddin mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif dan rombongan enggan dikuarantin selama 10 hari setelah mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia. - Bernama