X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada parti Melayu dominan

Penjajaran politik parti-parti Melayu masih gagal dimuktamadkan setakat ini.
A
A

SEMUA parti politik di Malaysia dilihat masih berpeluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila bukan sahaja tiada parti yang dilihat dominan, malah ramai rakyat Malaysia yang masih boleh dianggap pengundi atas pagar.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan dua organisasi media utama negara, Sinar Harian dan Sin Chew Daily mendapati perpecahan parti Melayu menyebabkan sokongan dalam kalangan orang Melayu juga berpecah.

Kaji selidik yang dijalankan melibatkan seramai 24,370 responden itu menyaksikan dalam kalangan parti Melayu, UMNO di depan dengan memperoleh 10.46 peratus sokongan diikuti Pas 7.58 peratus, Amanah 7.58 peratus, MUDA 5.32 peratus, Bersatu 5.08 peratus dan Pejuang 2.16 peratus.

Bagaimanapun, perpecahan sokongan pengundi Melayu dilihat memberi sedikit kelebihan kepada parti pembangkang yang bersifat parti pelbagai kaum iaitu PKR dengan 14.41 peratus dan DAP dengan 12.06 peratus.

Terdapat sejumlah besar pembaca boleh diklasifikasikan pengundi atas pagar apabila seramai 14.27 peratus belum membuat keputusan mengundi parti pilihan.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain ketika diminta mengulas mengenai dapatan kaji selidik itu berkata, walaupun sokongan kepada parti Melayu dilihat berpecah dan tidak dominan ketika ini, penjajaran atau penggabungan parti-parti menjelang PRU15 dijangka mengubah kedudukan tersebut.

Katanya, tiada masalah lambakan parti Melayu di negara ini kerana akhirnya akan berlaku penjajaran semula parti kepada tiga gabungan besar sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Atory katanya, penjajaran tersebut juga akan menjadi penentu bagaimana kelompok pengundi atas pagar itu bakal membuang undi nanti.

“Berdasarkan keputusan dalam kaji selidik yang dibuat Sinar Harian dan Sin Chew Daily, tidak ada parti yang mendapat majoriti dan masing-masing kalau dilihat mendapat kedudukan serta peratusan yang tidak jauh beza.

“Antara BN, PN dan PH, kalau BN bersama MN nampaknya akan lebih besar dan kuat kecuali Pas tak sertai UMNO, itu berat sedikitlah,” katanya pada Khamis.

Hasil dapatan kaji selidik Sinar Harian dan Sin Chew Daily.
Hasil dapatan kaji selidik Sinar Harian dan Sin Chew Daily.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kebiasaannya pengundi atas pagar akan membuat keputusan untuk memangkah sesuatu parti selepas melihat senario keseluruhan politik menjelang PRU15 nanti.

“Pengundi atas pagar mungkin masih tunggu dan lihat senario semasa. Pastinya ada yang bimbang, takut pisang berbuah dua kali seperti peristiwa Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan Perdana Menteri tanpa berundingan dengan pemimpin PH dulu.

“Atau takut calon yang diundi melompat ke parti lain,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib pula berpendapat, parti-parti Melayu sebenarnya kuat namun perpecahan politik yang berlaku adalah disebabkan pemimpin elit dalam parti yang tidak sehaluan dan mempunyai masalah antara satu sama lain.

“Mereka masing-masing berbalah dan mementingkan periuk nasi sendiri tanpa memikirkan masalah rakyat. Apa yang penting matlamat mereka tercapai.

“Golongan pimpinan ‘elit’ ini bersifat feudal dan jika mereka berperang, maka pengikut yangtaksub akan ikut pimpinan mereka itu tanpa tahu arah tuju.

“Maka perlu ada tolak ansur untuk memperkukuhkan semula BN, PN dan lain-lain,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!