Kerajaan warta ordinan berita tak benar

 Ordinan bagi mengekang berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 dan proklamasi darurat diwartakan oleh kerajaan pada Khamis.
Ordinan bagi mengekang berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 dan proklamasi darurat diwartakan oleh kerajaan pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ordinan bagi mengekang berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covid-19 dan proklamasi darurat diwartakan oleh kerajaan pada Khamis.

Pewartaan ordinan itu akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

Ordinan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan pada Khamis, Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 berkuat kuasa pada Jumaat.

Mengikut ordinan itu, berita tidak benar termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ordinan menyatakan, mana-mana orang melalui apa-apa cara, dengan niat untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan mengadakan, menawar, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan tidak benar boleh dikenakan tindakan.

Ordinan itu juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan berita tidak benar itu dipadamkan dan sekiranya gagal berbuat demikian, mahkamah boleh mengarahkan polis atau pihak berkuasa untuk mengambil 'langkah-langkah yang perlu' untuk menghapuskan berita itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga boleh memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas dan jika tidak mematuhi perintah, boleh disabitkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 bagi mengekang penularan berita tidak benar yang mempunyai kaitan dengan Covis-19 dan proklamasi darurat akan berkuat kuasa esok.

Dalam penghapusan berita tidak benar pula, ia menjadi kewajipan kepada mana-mana orang yang mempunyai milikan, jagaan atau kawalan penerbitan untuk menghapuskan penerbitan itu dalam tempoh 24 jam dari masa yang diberikan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa.

Dalam penghapusan penerbitan itu, mana-mana orang yang terjejas tidak boleh membuat permohonan 'ex parte' kepada mahkamah bagi sesuatu perintah untuk menghapuskan penerbitan itu dan ia hendaklah dibuat melalui Borang A Jadual yang disertakan laporan polis atau dokumen lain.

Pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh diarahkan mahkamah untuk mengambil langkah-langkah yang perlu dalam menghapuskan penerbitan itu.

Mengenai penguatkuasaan, ordinan ini menyatakan, setiap kesalahan di bawahnya adalah kesalahan boleh tangkap dan seseorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh menangkap mana-mana orang yang dipercayai dengan munasabah melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah ordinan ini.

Pegawai yang diberi kuasa juga mempunyai segala kuasa seorang pegawai polis tidak kira apa juga pangkatnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) berhubung penguatkuasaan, penyiasatan dan pemeriksaan.

Polis atau pegawai diberi kuasa juga yang menjalankan penggeledahan juga diberikan capaian kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam satu komputer atau selainnya.

Capaian itu termasuklah kata laluan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu.

Ordinan juga menyatakan, mereka yang bersubahat dalam mana-mana perlakuan kesalahan boleh dihukum di bawah ordinan ini mengikut hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Warta Kerajaan Persekutuan mengandungi ordinan berita tidak benar.

Sekiranya kesalahan dilakukan oleh pertubuhan perbadanan di bawah ordinan ini, pengarah, ketua pegawai eksekutif, pengurus, setiausaha atau pegawai serupa yang lain boleh dituduh secara berasingan atau bersama dalam prosiding yang sama.

Jika didapati bersalah, pertubuhan perbadanan itu hendaklah disifatkan bersalah melainkan ia dilakukan tanpa pengetahuan, tanpa persetujuan dan langkah munasabah sudah dijalankan.

Tuada pendakwaan bagi suatu kesalahan di bawah Ordinan ini boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya.

Malah tiada tindakan guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap kerajaan Malaysia atau mana-mana pegawai polis atau pegawai diberi kuasa.

Ordinan juga terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.

Kuasa yang diberikan ordinan ini juga tidak akan mengurangkan kuasa yang diberikan oleh undang-undang lain yang sedang berkuasa.

Ordinan itu juga boleh berkuat kuasa walaupun terdapat ketidakselarasan dengan Akta Keterangan 1950.

Kuasa untuk meminda Jadual juga diberikan kepada Menteri.