Rompin catat IPU tidak sihat

Mohd Sharkar (tengah) bersama Noor Shahniyati (kiri) dan Nisah pada sidang media di Bangunan UMNO Bahagian Temerloh pada Khamis.
Mohd Sharkar (tengah) bersama Noor Shahniyati (kiri) dan Nisah pada sidang media di Bangunan UMNO Bahagian Temerloh pada Khamis.
A
A
A

TEMERLOH - Rompin mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 109 sehingga jam 3 petang pada Khamis.

Tiga lagi stesen mencatatkan IPU sederhana iaitu di Balok Baru (51), Jerantut (59), Temerloh (55) manakala Indera Mahkota pada status sihat dengan bacaan 45.

IPU tidak sihat yang direkodkan di Rompin berpunca daripada kebakaran yang berlaku di Jemeri pada minggu lalu dan ia menunjukkan penurunan bacaan IPU berbanding 167 sebelum ini.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada penduduk berkenaan keadaan cuaca panas yang boleh menyebabkan kemarau jika berterusan.

"Sebelum ini, pada 3 Mac lalu, Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar telah mengisytiharkan larangan pembakaran terbuka di tiga buah negeri termasuk Pahang yang berkuatkuasa secara serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

"Kita juga menasihatkan orang ramai khususnya di kawasan tanah gambut di Pekan, Rompin yang mudah terbakar supaya segera membuat laporan kepada JAS jika ternampak kebakaran," katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Bahagian Temerloh pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Noor Shahniyati Ahmad Shukri dan Pegawai Kawalan Kanan JAS Pahang, Nisah Mohd Hanafi.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh dihukum mengikut Seksyen 29 (A),Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes kebakaran kepada pihak bomba di talian 999 atau talian bebas tol JAS,1-800-88-2727," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rompin catat bacaan IPU tidak sihat: JAS

Tiga negeri kini kawasan larangan pembakaran terbuka