Rompin catat bacaan IPU tidak sihat: JAS

Norlin Jaafar
Norlin Jaafar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status kualiti udara di Rompin, Pahang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 142.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan kebakaran hutan di kawasan itu pada Selasa lepas (2 Mac) dan tindakan pemadaman telah dilakukan, namun ia kembali terbakar pada awal pagi ini akibat daripada cuaca panas.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang giat menjalankan pemadaman kebakaran di kawasan tersebut.

“JAS cawangan Rompin sentiasa memantau trend bacaan IPU di stesen Rompin dari semasa ke semasa dan menjalankan rondaan operasi mencegah pembakaran terbuka secara harian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Norlin menasihati semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.

Mereka yang disabitkan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta kompaun maksimum RM2,000 boleh dikenakan atas setiap kesalahan mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. - Bernama

Artikel Berkaitan: