X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga negeri kini kawasan larangan pembakaran terbuka

Seluruh Selangor, Pahang dan Johor kini diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuat kuasa serta-merta. Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Seluruh Selangor, Pahang dan Johor kini diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkuat kuasa serta-merta sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, penguatkuasaan itu adalah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.

Norlin berkata, dengan pengisytiharan itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka bagi tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

"Mereka yang sabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, orang ramai juga diminta untuk bekerjasama memadamkan kebakaran-kebakaran kecil dan melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman web https://eaduan.doe.gov.my.

Pada Selasa, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, punca kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan dalam negara adalah disebabkan oleh peningkatan kes pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering sejak pertengahan Februari lepas.

Tuan Ibrahim juga dilaporkan berkata, keadaan berjerebu pada Selasa adalah berpunca daripada kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut seluas 34 hektar di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian di Johan Setia, Klang dan kebakaran belukar di Rompin, Pahang. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!