X

Kindly register in order to view this article
!

Selagi Bersatu dalam lagu UMNO

Gambar hiasan. - Foto fail Bernama
A
A

ADA seorang sahabat secara berseloroh berkata, UMNO sebenarnya tidak akan boleh memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

Saya tanya, kenapa? Sedangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah menghantar surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Februari lalu berhubung keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Surat yang dikeluarkan setelah mesyuarat di Janda Baik, Pahang itu turut menyatakan bahawa UMNO hanya akan bekerjasama dengan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

“Macam mana nak putus hubungan. Selagi UMNO tidak ubah lirik lagu parti itu, selagi itu Bersatu ada dalam UMNO! Setiap kali menyanyikan lagu itu, selagi itulah mengingatkan ahli UMNO kepada Bersatu,” katanya dengan selamba. Kami hanya tertawa.

“Lirik lagu UMNO bermula dengan ‘Bersatu kita Bersatu, Dengan setia berganding bahu...’ Ini yang dikatakan ‘love and hate relation-ship’ atau ‘benci tapi rindu’. Sampai bila-bila Bersatu akan ada dalam hati UMNO,” katanya lagi sambil menghirup teh tarik ketika sedang menunggu pesanan di restoran Wira Sejati di Seksyen 18, Shah Alam baru-baru ini.

Walaupun rakan itu hanya bergurau namun kata-kata beliau ada logiknya juga. Mesti ramai yang tidak terfikir perkara ini. Tapi hakikat sebenarnya lirik lagu tersebut tiada kena-mengena dengan parti yang ditubuhkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu pada 2016 itu.

Secara logiknya, memang boleh menukar lirik lagu tetapi mungkin akan mengubah sedikit feel lagu yang dicipta oleh bekas Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Dr Johari Salleh pada 1985 itu.

Setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO, lagu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat itu akan berkumandang di setiap penjuru Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dinyanyikan dengan penuh semangat oleh para perwakilan parti itu.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa ilham untuk menghasilkan lagu itu datangnya daripada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Menurut Johari, segalanya bermula apabila Siti Hasmah yang lama dikenalinya sejak bertugas di RTM menghubunginya melalui telefon kira-kira tiga minggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO 1985.

“Saya masih ingat ayatnya. Dalam nada lembut dan ceria, beliau secara kiasan menyatakan bahawa MCA dan MIC sudah memiliki lagu rasmi tetapi UMNO masih belum ada. Tanpa berfikir panjang, saya katakan kepadanya usah bimbang. Saya akan uruskan segera dan anggaplah segalanya sudah selesai,” kata Johari yang menerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang sempena Ulangtahun UMNO ke-69 pada 2015.

Beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lagu parti tersebut malah tidak pernah menerima atau meminta apa-apa bayaran.

Barangkali boleh menukar sedikit lirik tetapi asasnya kena sama dan tidak mengubah maksudnya. Kalau tidak selesa dengan ‘Bersatu kita bersatu...’ mungkin boleh diubah kepada ‘Bersama kita bersama....’ seperti yang dicadangkan seorang rakan, Yuseri Yusoff dalam Facebook beliau.

Kebetulan pula lirik lagu Pas, Berjihadlah juga bermula dengan ‘Bersatulah wahai kaum muslimin...’. Jadi anggaplah lirik lagu-lagu tersebut pencetus kepada perpaduan orang Melayu yang tiada kaitan dengan Bersatu.

Bila cerita pasal tukar lirik lagu rasmi ini, saya teringat kisah di Korea Utara apabila Presiden Kim Jong Un mengarah seorang pegawai kanan tenteranya diheret keluar dari rumah dan ditembak oleh skuad penembak kerana mengubah seni kata lagu kebangsaan negara itu ketika karaoke.

Kim dilapor berang selepas mengetahui lelaki itu mengubah senikata yang bermaksud ‘terima kasih kepada parti kami’ kepada ‘terima kasih kepada parti anda’ dan ‘Bencikan musuh anda, cinta negara anda,’ kepada ‘Bencikan isteri anda, cintakan wanita simpanan anda.’

Kesimpulannya, UMNO atau Pas tidak perlu menukar lirik lagu tersebut hanya kepada persepsi rakan saya itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!