Rakyat nilai prestasi, bukan sekadar dengar janji

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan satu pengajaran penting kepada semua parti politik dan bakal calon yang bercita-cita untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Rakyat hari ini semakin bijak menilai. Mereka bukan sekadar melihat parti yang diwakili seseorang calon, tetapi turut menilai sejauh mana calon tersebut bekerja, mengambil berat dan menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.
Dapatan kajian Ilham Centre sebelum ini yang meramalkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka menunjukkan perubahan landskap politik yang menarik.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah kekuatan jentera, penyatuan sokongan pengundi serta penerimaan positif terhadap pentadbiran kerajaan negeri. Malah, tahap kelulusan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan mencapai 86 peratus, manakala kerajaan negeri memperoleh 85 peratus.
Namun, satu perkara yang cukup menarik untuk diperhatikan ialah keberkesanan pendekatan turun padang dan mendekati rakyat secara berterusan.
Program seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat memperlihatkan bahawa rakyat mahu pemimpin yang hadir dalam kehidupan mereka, bukan hanya muncul ketika pilihan raya.
Contoh paling dekat ialah DUN Duyong yang diwakili Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem. Pada PRN 2021, beliau menang dengan majoriti tipis, hanya 200 undi. Namun, selepas melalui tempoh berkhidmat, beliau telah membuktikan kemampuan melalui kerja dan khidmat kepada masyarakat. Hasilnya, pada PRN kali ini, beliau menang dengan majoriti 10,040 undi.
Kenyataan beliau bahawa tiada manifesto khusus kerana masalah rakyat adalah tanggungjawab wakil rakyat membawa satu mesej yang cukup besar. Rakyat tidak semestinya mahukan janji baharu setiap kali pilihan raya. Mereka mahu masalah yang sedia ada diselesaikan.
Inilah realiti politik hari ini. Penduduk yang berhadapan masalah jalan rosak, longkang tersumbat, banjir kilat, lampu jalan tidak berfungsi atau kesusahan hidup tidak terlalu memikirkan polemik politik di peringkat nasional. Apa yang mereka mahu ialah wakil rakyat yang boleh dihubungi, datang melihat masalah dan berusaha menyelesaikannya.
Sokongan rakyat tidak boleh dipertahankan hanya dengan memainkan isu nasional atau bergantung kepada kekuatan parti. Hubungan dengan masyarakat di peringkat kawasan perlu sentiasa diperkukuhkan.
Apabila rakyat merasakan wakil rakyat kurang hadir atau tidak memahami masalah mereka, ruang untuk parti lawan mendapat sokongan akan terbuka. Pengajaran paling besar daripada PRN Melaka ialah kemenangan tidak bermula pada hari penamaan calon. Ia bermula sejak hari pertama seseorang wakil rakyat diberikan mandat.
Bakal calon perlu mula bekerja dari sekarang. Turun padang, kenali penduduk, dengar aduan, bantu mana yang mampu dan pastikan setiap masalah diberikan perhatian. Jangan hanya sibuk memasang poster, mengadakan ceramah dan menziarahi rakyat apabila pilihan raya semakin hampir.
Akhirnya, rakyat mungkin mengundi berdasarkan parti, tetapi kepercayaan mereka dibina melalui individu yang mereka kenali dan pengalaman mereka sendiri.
Jangan tunggu pilihan raya baru hendak turun padang. Jangan tunggu menjadi calon baru hendak mengenali rakyat. Bekerjalah dari sekarang kerana rakyat tidak memerlukan wakil rakyat yang hanya pandai berpolitik, sebaliknya mereka memerlukan pemimpin yang benar-benar boleh bekerja.
*Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
