Gelembung Pelancongan Bersasar, nafas baharu kepada sektor perhotelan

 Industri hotel mengalami kerugian hasil lebih RM300 juta selepas dua minggu pelaksanaan PKP.
Industri hotel mengalami kerugian hasil lebih RM300 juta selepas dua minggu pelaksanaan PKP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Gelembung Pelancongan Bersasar bermula pada Rabu adalah langkah permulaan bagi memulihkan industri pelancongan negara, sekali gus memberi nafas baharu kepada sektor perhotelan.

Naib Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Lim Choong Sean berkata, meskipun terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi, namun kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu disifatkan langkah kecil tetapi amat positif kepada industri perhotelan.

“Impak pandemik Covid-19 ini amat besar kepada sektor perhotelan. Kami mendapati bagi setiap dua minggu pelaksanaan PKP, industri hotel mengalami kerugian hasil lebih RM300 juta. Jadi, program ini sangat positif,” katanya menerusi program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV di sini pada Rabu.

Beliau menjelaskan, orang ramai tidak perlu takut untuk menginap di hotel kerana semua hotel di bawah MAH telah diaudit dan hanya diberi sijil pengiktirafan selepas mematuhi SOP yang maksimum bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Justeru, Choong Sean berkata, MAH meminta penduduk Malaysia terutamanya di kawasan PKPP untuk menyokong inisiatif kerajaan bagi menyemarakkan industri pelancongan negara.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah PKPP ke negeri PKPP lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar.

Setakat ini, tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 hingga 15 Mac ini selain Pulau Langkawi diisytihar sebagai zon PKPP. - Bernama

Artikel Berkaitan: