Suspek curi kabel elektrik kritikal terkena renjatan

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki dipercayai cuba mencuri kabel di pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di belakang stesen minyak BHP Ambang Kota, Chuah, Port Dickson, berada dalam keadaan kritikal selepas terkena renjatan elektrik.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan, Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.05 tengah hari semalam, tindakan suspek telah menyebabkan berlakunya letupan pencawang di lokasi berkenaan termasuk 16 pencawang lain terputus bekalan elektrik sehingga menjejaskan kira-kira 5,000 pengguna.

Katanya pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat cubaan mencuri kabel elektrik di pencawang elektrik di lokasi berkenaan dan susulan itu polis telah hadir ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat kesan pagar dipotong di bahagian pencawang berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awam, sebelum kejadian, kedengaran satu letupan kuat dan bekalan elektrik terputus di kawasan Site C, Chuah sehingga ke Bukit Palong. Saksi turut memaklumkan kelihatan juga seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa dan baju terkoyak seperti terbakar sedang melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal sejurus selepas letupan tersebut.

“Juruteknik TNB turut hadir ke lokasi kejadian dan membuat pemeriksaan mendapati terdapat kehilangan komponen elektrik dalam pencawang tersebut. Dimaklumkan juga pencawang tersebut menyalurkan elektrik bervoltan tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, polis kemudiannya telah membuat semakan melalui Unit Kecemasan Hospital Port Dickson dan mengesahkan ada menerima seorang pesakit dalam keadaan seluruh muka melecur dan hampir 20 peratus bahagian badan turut melecur.

“Pesakit dirawat di Zon Merah dan telah dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban memandangkan keadaan agak kritikal akibat terkena renjatan elektrik.

“Hasil siasatan mendapati suspek berumur 27 tahun beralamat di Taman Lukut Makmur dan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan mencuri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Bernama