Covid-19: 1,448 kes positif, lima kematian

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kes baharu positif Covid-19 di negara ini meningkat sedikit dengan mencatat 1,448 berbanding 1,280 kes semalam menjadikan kes kumulatif baharu 317,717.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes sembuh pula mengatasi kes baharu iaitu 2,137 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 298, 516.

"Daripada kes baharu hari ini ia melibatkan kes tempatan sebanyak 1,438 kes iaitu 878 warganegara dan 560 bukan warganegara, manakala 10 kes lagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Kes aktif pula ialah 18,010 kes," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Rabu.

Dalam pada itu lima kematian lagi direkodkan menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,191 kes, sementara 151 pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 72 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, lima kematian yang direkodkan hari ini melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Johor, Melaka serta Sabah, dengan lingkungan umur yang meninggal dunia 43 hingga 73 tahun.

Beliau berkata, Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 561 kes, diikuti oleh Johor (273 kes) dan Sarawak (199 kes) manakala 15 kes yang dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Dr Noor Hisham berkata, lima lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan dua kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster berkaitan komuniti dan satu kluster import iaitu Kluster Pona di Johor.

Artikel Berkaitan:

"Kluster tempat kerja didapati di Johor iaitu Parit Penyengat Darat dan Dagang Permai (Selangor). Kluster komuniti ialah Sungai Puteh (Selangor) dan Melor (Sarawak).

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif kini 449 kluster dengan 59 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini," katanya dan tambahnya, 13 kluster turut dilaporkan tamat menjadikan jumlah kluster tamat kini 768.

Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada Rabu adalah Kluster Tapak Bina Jalan Zamrud iaitu 151 kes, Kluster Parit Penyengat Darat (123 kes) dan Kluster Jalan Changkat Jong (49 kes), katanya. - Bernama