585 vaksin Pfizer-BioNTech dipulangkan semula kerana rosak

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

REMBAU - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 585 bebuli vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech yang diterima Malaysia sebelum ini dipulangkan semula kerana didapati telah rosak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, dos vaksin tersebut rosak semasa perjalanan dari kilang di Belgium ke Malaysia.

"Kita dapati semasa dalam perjalanan dari kilang di Belgium ke Malaysia, suhu penyimpanan vaksin tersebut telah berubah.

"Suhu penyimpanan suhu telah meningkat daripada -70 kepada suhu yang tidak boleh diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi kita telah pulangkan semula kepada Syarikat Pfizer," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin di Klinik Kesihatan Rembau di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, jumlah yang dipulangkan itu bagaimanapun masih kecil berbanding lebih 500,000 dos vaksin yang diterima sebelum ini.

Beliau berkata, pihak syarikat akan menggantikan dos vaksin rosak itu dengan yang baharu.

Tempat penyimpanan vaksin Pfizer-BioNTech mRNA bagi Covid-19 memerlukan suhu yang sejuk melampau pada takat -70 darjah celsius bagi mengekalkan penghantaran rantaian sejuk beku untuk mengekalkan potensi keberkesanannya apabila digunakan.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan pihaknya masih lagi mempertimbangkan pemberian vaksin terhadap atlet termasuk pasukan Liga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (atlet) masih lagi dalam pertimbangan, kita ada jawatankuasa kecil di bawah Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin yang ditugaskan untuk menilai rayuan daripada sektor tertentu dan penilaian risiko serta keperluan kepada pembukaan ekonomi negara akan dibuat.

"Buat masa ni kita belum bersetuju lagi, dan masih dalam pertimbangan," katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, sehingga kini seramai 5 juta rakyat Malaysia telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 dan berharap jumlah tersebut akan terus bertambah.