Sorok ganja dalam peti ais

Nik Ezanee (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Rabu.
Nik Ezanee (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 10 individu termasuk seorang peniaga kedai runcit ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis ganja dalam serbuan berasingan di Kampung Sungai Kayu Ara Damansara dan Bandar Utama pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya turut merampas ganja yang dianggarkan bernilai kira-kira RM24,000 dalam serbuan terbabit.

Dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki di berusia 25 tahun di sebuah kedai runcit di Kampung Sungai Kayu Ara, Damansara pada jam 9 malam yang turut membongkar taktik menyembunyikan bahan terlarang tersebut dalam peti ais.

"Kita menjumpai satu plastik yang mengandungi dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 505 gram di dalam peti ais," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini pada Rabu.

Nik Ezanee berkata, hasil soal siasat polis kemudian membawa kepada penemuan 12 paket plastik lagi disyaki dadah ganja seberat 80 gram yang turut diletakkan dalam peti ais di sebuah rumah berhampiran kedai runcit itu.

Beliau berkata, pihaknya kemudian memberkas tujuh lelaki berusia 19 hingga 25 tahun dalam serbuan pada jam 10 malam di sebuah rumah lain di lokasi sama.

"Hasil soal siasat, salah seorang suspek menunjukkan satu peti plastik yang di dalamnya terdapat satu beg galas berisi tiga ketulan mampat dadah ganja seberat 530 gram dan 35 peket dadah jenis sama seberat 325 gram," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya memberkas dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun dalam serbuan berasingan pada jam 10.25 malam di sebuah premis di Bandar Utama pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

"Kita merampas dadah jenis ganja seberat 1,780 gram di dalam sebuah bilik. Kita turut menyita wang tunai RM35,000 dan sebuah kereta jenis Honda Civic," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu itu direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.