'Guan Eng tidak sensitif hukum Islam, sentimen rakyat'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng langsung tiada perasaan sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat dengan membenarkan sebuah syarikat judi membiayai lawatan kerja 16 Pegawai Tertinggi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ke Istanbul, Turki.

Tegas beliau, penajaan tersebut adalah tidak wajar kerana bertentangan dengan prinsip agama dan moral.

Menurutnya, sepatutnya program lawatan tersebut dibiayai sepenuhnya kerajaan melalui Kementerian Kewangan jika lawatan kerja itu benar-benar mustahak untuk PDRM.

“Nampaknya PH khususnya Guan Eng lansung tiada perasaan sensitif terhadap hukum Islam dan sentimen rakyat dengan membenarkan sebuah syarikat judi membiayai lawatan kerja sebuah institusi awam yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara dengan lambangnya jelas tertera kalimah Allah dan Nabi Muhammmad SAW.

“Selain itu, apakah tindakan ini menepati prinsip tadbir urus kerajaan yang baik apabila sebuah syarikat swasta dibiarkan menaja sebuah organisasi kerajaan yang mampu mencetuskan polemik konflik kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meluahkan kekesalan selepas Guan Eng mengakui lawatan kerja tersebut sememangnya ditaja syarikat judi nombor ekor terkemuka.

“Yang pasti amalan ini juga bertentangan dengan prinsip Maqasid Syariah ataupun Rahmatan Lil Alamin sebagaimana yang dijuarai kerajaan PH hari ini,” ujar beliau.

Hari ini, Guan Eng mendedahkan lawatan sambil belajar polis diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki dibayar oleh sebuah syarikat loteri.

Artikel Berkaitan:

"Dana bukan daripada Kementerian Kewangan. Sumber dana daripada Da Ma Cai, sebuah syarikat ramalan nombor. Mereka tidak dapat sesen daripada kita," katanya di Putrajaya, hari ini.