Pencemaran Sungai Kim Kim kali ini berbeza dengan 2019

Tuan Ibrahim (kanan) menunjukkan lakaran landskap denai Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang akan berwajah baharu ketika tinjauan di sungai berkenaan pada Selasa.
Tuan Ibrahim (kanan) menunjukkan lakaran landskap denai Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang akan berwajah baharu ketika tinjauan di sungai berkenaan pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang menyebabkan berlaku tompokan minyak dan bau baru-baru ini berbeza dengan insiden pencemaran pada Mac 2019.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pencemaran kali ini berpunca daripada pelepasan air sisa daripada aktiviti premis dan bukannya pembuangan sisa berjadual (scheduled waste).

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TUAN IBRAHIM TUAN MAN

"Persampelan air sungai telah dibuat untuk mengukur kualiti air dan didapati bacaan bagi parameter oksigen terlarut adalah 3.5 ~ 3.8 dan pH ~ 8.2 dalam julat normal.

"Berdasarkan hasil siasatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, pencemaran kali ini berpunca daripada pelepasan efluen daripada aktiviti premis dan bukannya pembuangan sisa toksik sepertimana yang berlaku pada tahun 2019.

"Jauh beza sebenarnya. Bukan pencemaran sisa toksik, laporan tidak tepat dan sampel menunjukkan pencemaran biasa serta tidak bahaya kepada penduduk seperti 2019," katanya selepas meninjau keadaan denai Sungai Kim Kim, di sini pada Selasa.

Tuan Ibrahim berkata, Pengarah JAS, Dr Famey Yusoff bersama anggota penguat kuasa telah ke lokasi pencemaran di Sungai Kim Kim, Kampung Bukit Pulai untuk menjalankan siasatan.

"Semasa anggota JAS tiba di tempat kejadian, tompokan minyak seperti yang didakwa penduduk tidak lagi kelihatan dan tiada bau busuk dikesan.

Artikel Berkaitan:

"Penerbangan dron juga telah dijalankan di sekitar kawasan diadu dan penguat kuasa JAS telah menyusuri Sungai Kim Kim untuk melihat sebarang punca yang boleh disyaki menyebabkan pencemaran tersebut," katanya.

Menurut beliau lagi, selain daripada tindakan pemantauan secara berterusan oleh JAS, pihak KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor telah menggerakkan usaha pengawalan pencemaran secara bersama dengan masyarakat setempat melalui pembinaan denai Sungai Kim Kim.

"Pembinaan denai Sungai Kim Kim sepanjang 10 kilometer diharapkan dapat mendekatkan masyarakat dan industri kepada ekosistem sungai sebagai pusat rekreasi dan ekopelancongan, sekali gus menjalankan tanggungjawab untuk bersama memantau kualiti air," katanya.