X

Kindly register in order to view this article
!

Steven Choong sahkan terima notis tuntutan RM10 juta

Steven Choong
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon pada Selasa, mengesahkan sudah menerima surat tuntutan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menuntut RM10 juta berhubung tindakannya keluar parti.

Steven Choong berkata, beliau telah meminta peguamnya memberi maklum balas terhadap notis tuntutan itu selepas menerimanya menerusi perkhidmatan kurier pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan yang diambil keluar parti dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan untuk sebarang jawatan di peringkat Kabinet.

Bagaimanapun jelasnya, beliau akan mempertimbangkan untuk menerima jawatan berkaitan sebarang jawatankuasa yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Jika jawatankuasa itu membolehkan saya memberikan idea untuk bajet atau tambah baik kehidupan rakyat, maka saya akan terima tetapi bukan jawatan di dalam Kabinet," katanya.

Pada 2 Mac lalu, PKR dilaporkan akan menghantar surat tuntutan kepada Steven Choong susulan tindakannya meninggalkan parti berkenaan dan menyokong kerajaan PN.

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, melalui tuntutan itu Choong dikehendaki membayar RM10 juta dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang.

Pada 28 Februari lalu Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien masing-masing daripada PKR menyatakan sokongan kepada kerajaan PN apabila menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka kepada Perdana Menteri.

Penyerahan SD tersebut dimuat naik Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran terbaharu akaun Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Tindakan Steven Choong itu mengejutkan ramai pihak terutama selepas sehari isu tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dilaporkan menyertai PKR.

Wakil rakyat tersebut ialah ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim; ADUN Serom, Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonid.

ARTIKEL BERKAITAN: Proses saman RM10 juta PKR ikut prosedur

PKR mohon maaf dua ahli Parlimennya lompat parti

Keluar PKR sokong PN untuk selesaikan isu rakyat


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!