Saya diminta nafikan audio itu: Nik Abduh

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Setelah berdepan pelbagai kemelut, akhirnya Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui rakaman suara audio yang hangat diperkatakan kini adalah miliknya.

Pengakuan yang dibuat melalui perkongsian di laman sosial Facebook miliknya itu menceritakan detik demi melibatkan semua urusan yang dilakukan yang berkaitan dengan audio tersebut.

“Pada awal 2018, sebelum PRU14, tular di media sebuah rakaman yang didakwa sebagai ucapan Nik Abduh. Ia mengejutkan ramai kerana isi ucapan itu yang didakwa membenarkan dakwaan musuh politik Pas bahawa Pas telah menerima wang sogokan berjuta-juta daripada Umno.

“Ia tidaklah begitu mengejutkan saya. Saya sudah pun dimaklumkan lebih awal bahawa akan dibocorkan rakaman ucapan saya di dalam program dalaman parti kepada umum. Cuma saya menggaru-garu kepala, sampai ke tahap ini mereka?

“Sebaik tular, saya ada dua pilihan di hadapan. Pertama, bercakap benar dan mengesahkannya. Kedua, menafikannya. Ia adalah ucapan dalam majlis tertutup dengan tetamu tertentu sahaja. Terlalu tertutup. Maka hak saya adalah menjaga kerahsiaan dan tidak sama sekali mengkhianatinya," tulisnya hari ini.

Jelasnya lagi, beliau memilih pilihan pertama yang dianggap mudah iaitu bercakap benar akan membebaskan semua pihak dalam Pas.

Tulis Nik Abduh, bagi beliau berbohong adalah penjara yang memerangkap diri sendiri dan memilih untuk berterus terang sahaja.

“Tetapi saya sedar, ia bukan sekadar soal nama baik peribadi saya. Saya mewakili parti Pas dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Rakaman itu walaupun bertujuan menjatuhkan reputasi saya, ia segera sahaja disambar oleh musuh sebaik tular untuk menjatuhkan Pas.

"Belum sempat ahli Pas marahkan saya, musuh-musuh politik Pas telah merayakannya. Nyamuk belum mati, api sudah menyambar kelambu," tulisnya lagi dalam entri terbaharu itu.

Ujar Nik Abduh, beliau turut merujuk kepada beberapa pimpinan parti yang sudah pun memahami isu ini dengan baik, mereka memutuskan agar saya menafikannya.

Beliau tidak menafikan berlaku percanggahan sengit apabila dirinya enggan dan menolak, tetapi pucuk pimpinan berkeras meminta menafikannya.

"Fitnah mesti ditutup, itu hujah mereka. Saat itu, bahang PRU14 semakin terasa. PH sedang bermaharajalela menyerang Pas dengan pelbagai fitnah sesudah mereka kehilangan punca untuk mencari kecacatan dan kesalahan Pas.

“Dalam kesukaran, saya memohon jawapan daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Segera beliau merestui keputusan agar saya segera menafikannya. Saya akur dan gembira menerima mandat,” katanya.

Menurutnya, hanya tiga institusi yang berhak mengubah keputusan untuk menukar pengakuan tersebut iaitu Pas, mahkamah dan ketiga ialah Kerajaan Malaysia melalui siasatan pihak polis atau SPRM.

Beliau berkata, dengan erti kata lain, beliau akan kekal menyimpan rahsia sehingga salah satu daripada tiga institusi itu memutuskan sebaliknya.

“Sebelum SPRM memanggil saya untuk siasatan, saya sudah pun dipanggil oleh pihak polis beberapa bulan lepas di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan terhadap isu rakaman ucapan saya yang tular itu.

“Kenyataan saya kepada ketiga-tiga institusi tersebut adalah sama. Saya mengakui kebenaran suara saya itu. Saya juga menegaskan di hadapan mereka untuk saya terus menafikannya di hadapan publik sebagai hak menjaga kerahsiaan yang ditekankan oleh agama.

“Semasa saya mempertegaskan hak kerahsiaan ini di hadapan pegawai SPRM beberapa hari lepas, mereka menjawab, "Ya. Kami pegawai kerajaan, apatah SPRM diwajibkan dan diajar untuk menjaga kerahsiaan." Mereka membenarkan saya.

Namun Nik Abduh berkata, akhirnya, kelmarin Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hasan, mengesahkan rakaman itu sebagai ucapan dirinya dan perkara itu disahkan sediri oleh Hadi.

“Maka, Pas telah bersetuju untuk saya memberi jawapan kedua yang menukarkan jawapan pertama saya dulu. Saya menerimanya dengan senang hati sebagaimana yang pertama dulu.

“Saya berterima kasih kepada seluruh ahli, penyokong dan rakyat yang menerima dengan hati terbuka kenyataan penafian saya setahun yang lepas. Ia berjaya meneguhkan parti Pas untuk melangkah memasuki pilihan raya umum baru-baru ini.

Melalui entri sama juga, enam pintu utama dibahagikan bagi memperjelaskan maksud sebenar yang terkandung di sebalik ‘rahsia’ yang disimpan selama ini.