PRN: Pas kunci mulut nama Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
A
A
A

KOTA BHARU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil pendekatan mengunci mulut berkenaan sama ada Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tercalon atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Abdul Hadi berkata, semua itu akan terjawab pada hari penamaan calon nanti.

"Kita tengok nama beliau (Nik Abduh) naik atau tidak. Insya-ALLAH akan ada kejutan pada ketika itu," katanya semasa sidang akhbar pada malam Sabtu.

Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah di Pakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Menurut beliau, ketika ini Majlis Syura Ulamak sedang membuat tapisan dan akan bermesyuarat minggu depan sebelum membuat keputusan.

Ujar Abdul Hadi, selain itu tokoh dari UMNO berkemungkinan besar akan diberi peluang untuk bertanding pada PRN nanti.

Media sebelum ini melaporkan, Nik Abduh yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan tidak menerima ‘lamaran’ daripada Pas atau mana-mana parti politik untuk menjadi calon pada PRN nanti.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, calon Menteri Besar di enam buah negeri yang menghadapi PRN masih belum dibincangkan.

Tambah beliau, perkara itu hanya akan dibincang selepas menang PRN.