Semangat berani, integriti warga polis

A
A
A

LAGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjudul Sedia Berkhidmat sangat sebati pada jiwa saya sebagai anak kepada anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) di Batalion 9 PPH Kem Bakri, Muar, Johor yang menjadi kediaman selama 17 tahun.

Sejak kecil lagu ini sering berkumandang apabila dinyanyikan penuh semangat oleh warga PPH. Malah, kami anak-anak polis hafal seni katanya turut sama menyanyikan lagu ini mengikuti pelatih-pelatih polis yang berkawad semasa melintasi berek. Pada baris keenam lagu Sedia Berkhidmat menyebut: ‘Bila kebakaran berlaku, jiran tidak ada di situ, polis berlari tolong bantu, semuanya selamat tentu’.

Tindakan sedemikian telah dibuktikan oleh anggota polis, Sarjan Mat Shah Kasim yang nekad meredah api menyelamatkan dua mangsa kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan, Khamis lepas.

Sarjan berusia 57 tahun ini telah menyelamatkan Maimunah Mohd. Shah, 81, yang sebelum itu masuk ke dalam rumah untuk menarik keluar anaknya, Zaidi Zainudin, 46, yang merupakan orang kelainan upaya sehingga ke tangga dapur.

Sarjan Mat Shah tanpa memikirkan bahaya, nekad meredah bahagian dapur rumah yang sedang terbakar menahan bahang panas dan percikan api serta elektrik. Semasa kejadian, Sarjan Mat Shah yang bertugas di Cawangan Logistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dalam perjalanan pulang selepas menghantar pegawainya ke Kedah atas urusan kerja.

Integriti sebagai anggota polis juga menyaksikan enam anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Kuala Kangsar yang menolak sogokan menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis negeri Perak pada Ogos tahun lalu.

Sub Inspektor (SI) Ramli Awang; Koperal Zaini Omar; Koperal Samsuddin Mat Rashid; Koperal Thyagaran Suhumah; Koperal Isna Nizam Ishak dan Konstabel Azizat Farkhan Kamaruddin masing-masing menerima surat penghargaan atas tindakan terpuji itu.

Kejadian tersebut berlaku pada Oktober tahun 2019 semasa anggota-anggota berkenaan melaksanakan penguatkuasaan lalu lintas di Jalan Daeng Selili di hadapan Pejabat Pos Kuala Kangsar. Mereka menolak wang rasuah yang diberikan seorang lelaki warga asing apabila ditahan bukan disebabkan nilai atau jumlah sogokan tetapi kerana integriti sebagai anggota polis selain menjaga nama pasukan.

Artikel Berkaitan:

Negara juga bangga dengan keberanian dua anggota Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq yang terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di kawasan berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis pada November tahun lalu. Keberanian Sarjan Norihan Tari dan mendiang Sarjan Baharuddin Ramli yang sanggup mempertaruhkan nyawa mencerminkan semangat keperwiraan tidak mengenal gentar semasa berhadapan musuh sehingga kehabisan peluru. Dua wira negara itu dianugerahi pingat Panglima Gagah Berani kerana telah menunjukkan kepahlawanan sebenar yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak.

Semangat keperwiraan mendiang Sarjan Baharuddin telah pun dipamerkan sebelum itu apabila beliau merupakan salah sorang penerima Surat Penghargaan Sempena Sambutan Hari Polis ke-208 peringkat negeri Perak pada tahun 2015.

Penghargaan yang diterima itu hasil kejayaan mendiang bersama dua rakan sepasukan menemui 45 pendatang asing warga Mynamnar termasuk kanak-kanak dan tekong semasa membuat rondaan di sempadan Malaysia-Thailand dekat Wang Klian, Perlis.

Kisah keberanian dan integriti yang ditonjolkan Sarjan Mat Shah, enam anggota JSPT IPD Kuala Kangsar diketuai SI Ramli Awang serta Sarjan Norihan dan mendiang Sarjan Baharuddin menggambarkan jiwa kepolisan Sang Saka Biru. Menjengah usia ke-214 tahun yang bakal disambut pada 25 Mac nanti, PDRM merupakan institusi yang dibarisi warga berani, cekal dan berintegriti.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu