X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Covid-19: Kaunseling psiko pendidikan elak salah faham

Tuanku Syed Faizuddin (tiga dari kanan) menyampaikan agihan bantuan zakat sempena program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 10 bagi tahun 2021 di Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang, di sini pada Ahad.
A
A

ARAU - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa antara perkhidmatan yang boleh diberikan bagi membantu masyarakat mengelakkan salah faham mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan termasuklah memberikan kaunseling psiko pendidikan.

Titah baginda, ini amat penting bagi mengurangkan kerisauan dan ketakutan yang dihadapi segelintir masyarakat yang kurang pengetahuan mengenai vaksin.

Baginda bertitah, antara info yang perlu disampaikan termasuklah pendidikan mengenai apa itu vaksin, kesannya kepada individu dan masyarakat serta kepentingannya kepada individu, masyarakat dan negara secara umum.

"Pelbagai usaha dijalankan bagi mengurangkan stigma dan pandangan buruk terhadap penerimaan suntikan vaksin ini. “Negative bias” adalah tindakan yang melibatkan pemikiran manusia yang lebih cenderung untuk memberikan penekanan atau perhatian yang lebih kepada sesuatu yang negatif berbanding sesuatu yang positif.

"Justeru, peranan dan tanggungjawab masyarakat dalam mendepani jaringan maklumat yang luas turut memainkan peranan yang penting bagi sama-sama membendung penularan berita palsu," titah baginda ketika majlis penyampaian agihan bantuan zakat sempena program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke-10 bagi tahun 2021 di Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, sesiapa yang keliru mengenai imunisasi ini dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

"Bagi masyarakat di Perlis secara khususnya, maklumat yang tepat boleh diperoleh dari Portal JKN Perlis serta boleh menghubungi Bilik Gerakan di Jabatan Kesihatan Negeri atau di Pejabat Kesihatan Daerah.

"Selain itu, sekiranya masyarakat mempunyai kebimbangan, kerisauan yang melampau dan memerlukan bantuan khidmat kesihatan mental dan psikososial, adalah dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana klinik kesihatan di negeri Perlis," katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Selain menyantuni tiga buah rumah asnaf sempena program berkenaan baginda juga turut berkenan singgah meninjau dan dipersembahkan taklimat pengoperasian di dua buah kebun tanaman di Kampung Paya Burma, Kok Klang yang mengusahakan tanaman pegaga oleh Suhafiza Johari dan limau kasturi oleh Samah Bakar.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!